KWP hantar telur, minyak masak ke Labuan atasi bekalan tidak cukup
SHAH ALAM - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menghantar bekalan makanan asas ke Labuan secara berperingkat bermula Selasa susulan isu bekalan tidak mencukupi untuk persiapan Aidilfitri.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sebanyak 1.25 juta biji telur ayam dan 42,500 peket minyak masak akan dihantar dengan lima kali penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum Aidilfitri.
Menurutnya, kesemua bekalan tersebut akan dijual dengan harga subsidi dan diuruskan oleh Perbadanan Labuan (PL) bersama dua pemborong dikenal pasti.
"Harga pasaran bagi sepapan telur ayam gred C adalah RM13. 80 namun akan dijual dengan harga RM10 manakala minyak masak peket dijual serendah RM2 iaitu subsidi sebanyak 50 sen.
"Pada Selasa sebanyak 250 000 biji telur ayam dan 8,500 peket minyak masak dihantar sebagai permulaan dan akan dijual bermula Rabu. Pembelian dihadkan satu peket minyak masak dan satu papan telur bagi setiap isi rumah," katanya ketika pelepasan ihsan bekalan makanan tersebut di Pangkalan Udara Subang, pada Selasa.
Katanya, isu kekurangan bekalan makanan di Labuan adalah disebabkan masalah logistik yang sedang dibincangkan dengan teliti supaya dapat diuruskan dengan baik.
"Ia bukan hanya melibatkan isu kekurangan bekalan telur dan minyak masak di sana tetapi bahan asas tersebut dijual dengan harga yang tinggi.
"Susulan itu, KWP mengambil inisiatif menawarkan harga murah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengatasi permasalahan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!