Van Basten sifatkan tiada sebab gugur Ronaldo

Ronaldo - foto AFP
Ronaldo - foto AFP
A
A
A

LAGENDA bola sepak Belanda, Marco Van Basten menyifatkan tiada sebab untuk pihak pengurusan Manchester United menggugurkan Cristiano Ronaldo bagi mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim depan.

Menurut Van Basten, Ronaldo dilihat bakal membuatkan pengendali baharu United, Erik ten Hag tidak mempunyai sebarang alasan untuk menggugurkan pemain berusia 36 tahun itu dengan mempamerkan segala kebolehan yang dimiliki pada baki saingan EPL musim ini.

“Jika Ronaldo meneruskan aksi sebagaimana yang dipamerkannya ketika berdepan Norwich minggu lalu, termasuk menjaringkan gol, tiada sebab untuk ‘mengeluarkannya’ daripada pasukan.

“Bagi saya, Ronaldo merupakan pemain yang sentiasa melakukan sesuatu mengikut kehendaknya sendiri, tetapi selagi dia mampu ‘menyumbang’ dia perlu mendapat tempat dalam pasukan.

“Namun, Ten Hag tidak boleh meminta aksi yang sama kerana Ronaldo bukan lagi berusia 18 tahun; namun Ronaldo juga perlu bekerja keras bagi mempengaruhi Ten Hag agar membenarkannya beraksi mengikut kehendaknya sendiri,” katanya.

Untuk rekod, Ronaldo kembali ke Old Trafford musim ini, tetapi ia ternyata menjadi musim yang sukar buatnya susulan prestasi hambar yang dipamerkannya.

Malah, gara-gara aksi hambar berkenaan, ada ura-ura mengatakan tonggak Portugal itu bakal digugurkan bagi mengharungi musim baharu kelak.

Sementara itu, Van Basten turut mengingatkan Ten Hag agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana laporan media, tetapi sebaliknya lebih memberikan fokus terhadap tugasnya di Old Trafford.

“Saya akan menemuinya bagi menyatakan perkara ini; jangan terpengaruh dengan media bila sudah mula bertugas di Old Trafford.

“Dia ada tanggungjawab besar yang perlu dilakukan dan dia perlu menyelesaikannya segera,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!