Malaysia agresif menentang tekanan asing terhadap minyak sawit

Datuk Zuraida Kamaruddin
Datuk Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan berjuang dengan agresif dan habis-habisan menentang tekanan daripada pihak asing terhadap minyak sawit selain menyediakan segala bukti yang berkaitan untuk menepis serangan berkenaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan pada Selasa menggesa rakyat Malaysia bekerjasama dengan kementerian itu menangani dakyah antiminyak sawit oleh negara Barat yang jelas bertujuan menjatuhkan industri sawit negara.

"Kita akan tunjukkan kepada mereka bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang boleh diperbodohkan," katanya sambil menambah tentangan ekonomi maju terhadap minyak sawit - minyak masak yang paling banyak dihasilkan, digunakan dan diperdagangkan - semuanya bagi melindungi perdagangan kacang soya, minyak makan kedua paling banyak dihasilkan, sememangnya sudah diketahui.

Zuraida menegaskan, walaupun Malaysia dan Indonesia yang merupakan dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia tidak mempunyai niat untuk bermusuh, sudah tentu telah telah tiba masanya untuk industri minyak sawit mengambil tindakan yang lebih proaktif dan agresif untuk menangkis dakwaan tidak berasas oleh pesaing kuat di luar sana yang giat berkempen mempromosi jenis minyak sayuran boleh dimakan yang lain.

"Sudah tiba masanya untuk semua badan pensijilan yang berkenaan tampil mempertahankan minyak sawit, menepis semua dakwaan itu. Sama ada peluangnya tipis atau sebaliknya, Malaysia dan Indonesia mesti secara proaktif meneruskan tindakan undang-undang mereka yang difailkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas biodiesel minyak sawit," tambahnya.

Parlimen EU telah mengundi agar biobahan api (biofuel) berasaskan sawit diharamkan sepenuhnya menjelang 2021. Sebaliknya, biobahan api berasaskan tanaman lain akan dihadkan pada 7.0 peratus sebelum pengurangan secara beransur-ansur kepada 3.8 peratus menjelang tahun 2030.

Tindakan sedemikian dikaitkan dengan kepercayaan EU bahawa penanaman kelapa sawit harus dipersalahkan dalam kemusnahan hutan.

Satu lagi larangan perdagangan yang sering menjejaskan eksport minyak sawit Malaysia datang daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat import minyak sawit ke dalam ekonomi terbesar dunia itu atas dakwaan terdapatnya penggunaan buruh paksa.

Zuraida seterusnya berkata, serangan yang tidak adil dan dakwaan baharu terus memburuk dan menjatuhkan industri di tengah aspek perundangan dan standard pensijilan sedia ada atas alasan bagi memastikan hak pekerja dilindungi, sedangkan hakikatnya penanaman kelapa sawit hanya melibatkan 0.31 peratus daripada lima bilion hektar kawasan pertanian global.

"Seperti yang diketengahkan oleh ahli Pusat Kajian Kemampanan Minyak Sawit Gambia, Muhammed Magassy, tidaklah mengejutkan jika pengeluar minyak sawit utama seperti Malaysia dan Indonesia menganggap pendirian anti-minyak sawit EU sebagai 'aparteid tanaman' memandangkan tingkah laku sedemikian menghidupkan semula asal-usul industri yang eksploitatif dan kolonial,'” katanya.

Zuraida berkata, kementeriannya juga sedang mengusahakan pertemuan dengan CBP AS dan EU menjelang Julai tahun ini untuk menjelaskan secara terperinci mengenai dakwaan isu buruh paksa selain menangani kesan daripada Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan oleh CPB AS kepada FGV Holdings Bhd dan Sime Plantation Bhd pada tahun 2020.

"Pada masa yang sama, wakil Malaysia akan menghadiri prosiding pertikaian mengenai dakwaan diskriminasi EU terhadap industri minyak sawit negara dari 8 hingga 18 Mei ini untuk kita memberikan pendapat mengenai isu itu," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!