Anggota PGA, Baiduri bergabung laksana World #QuranHour
IPOH - Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Badan Amal dan Usaha Isteri negeri Perak (Baiduri) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) bergabung tenaga menjayakan World #QuranHour di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA, Ulu Kinta di sini pada Selasa.
Pada majlis itu dianggarkan seramai lebih 300 peserta hadir memeriahkan penganjuran program tersebut.
Pengerusi PPANPk, Jamilah Zakaria berkata, gabungan penganjur kali ini lebih mantap dengan penglibatan lebih ramai peserta berbanding tahun sebelumnya.
"Walaupun satu jam, World #QuranHour ini merupakan satu yang amat baik untuk dilaksanakan untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran.
"Kita akan terus memberikan komitmen terhadap penganjuran World #QuranHour pada masa akan datang. PPANPk akan mengangkat al-Quran sebagai bahan bacaan yang popular dalam kalangan masyarakat," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Kem PGA Ulu Kinta di sini pada Selasa.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Aezer Zubin.
Beliau berkata, melalui World #QuranHour mendekatkan masyarakat dengan al-Quran seterusnya memberi kefahaman terhadap isi kandungan kitab suci itu.
Sementara itu, Komandan Pusat Latihan Pasukan, Superintendan Mohammad Hafiz Kadir menjelaskan pihaknya sangat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada program tersebut.
Menurutnya, seramai 250 anggota termasuk pegawai hadir menyokong dan memeriahkan program tersebut.
Program tersebut bermula seawal jam 10.30 pagi dengan ceramah yang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzillah Abdul Halim.
Program kemudiannya diteruskan dengan gimik perasmian World #QuranHour oleh Aezer dan diikuti dengan penyampaian cenderahati.
Seterusnya, bacaan tadarus Al-Quran Surah Al-Sajdah diperdengarkan oleh semua peserta yang hadir sebelum tadabbur ayat bagi surah berkenaan disampaikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!