Bekalan telur ayam, minyak masak dihantar ke Labuan
SHAH ALAM - Kementerian Wilayah Persekutuan menghantar bekalan telur ayam dan minyak masak ke Labuan secara berperingkat bagi mengatasi masalah kekurangan barangan itu menjelang Aidilfitri ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, 1.25 juta telur ayam dan 42,500 peket minyak masak itu dihantar menerusi lima kali penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula hari ini dan dijangka selesai sebelum Aidilfitiri.
Beliau berkata, barangan itu akan dijual dengan harga subsidi menerusi pemborong yang dilantik dan diuruskan oleh Perbadanan Labuan di lokasi yang ditetapkan.
"Telur gred C yang dijual pada harga pasaran RM13.20 sepapan akan dijual dengan harga RM10 selepas disubsidi manakala minyak masak berharga RM2.50 dijual pada harga RM2.
"Selain masalah kekurangan bekalan, barangan ini juga dijual pada harga yang lebih tinggi di Labuan susulan isu logistik... jadi jualan ini diharap dapat mengurangkan beban rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan barangan itu di Pangkalan Udara Subang di sini pada Selasa.
Shahidan sebelum itu menyaksikan pelepasan penerbangan pertama bekalan makanan itu terdiri daripada 250,000 telur ayam dan 8,500 peket minyak masak yang akan mula dijual esok menerusi inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Untuk Labuan.
Mengulas berkenaan isu banjir kilat yang melanda ibu negara pada Isnin, Shahidan berkata, pihaknya menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan akan mendapatkan maklumat mangsa dan bantuan sewajarnya akan diberikan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!