Warga asing tular tidak pakai pelitup muka didenda RM800
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki warga Kanada memarahi pengawal keselamatan selepas ditegur tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah di sebuah pasar raya sehingga tular di media sosial, mengundang padah apabila didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Theberge Travis Lee, 44, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret S Mageswary.
Bagi pertuduhan pertama, dia didenda RM100 dan gagal membayar sehari penjara manakala pertuduhan kedua, denda RM700, gagal bayar penjara 14 hari.
Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja dalam industri minyak dan gas didakwa telah menunjukkan isyarat lucah terhadap pengawal keselamatan, Padam Giri dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Village Grocer M-City, Jalan Ampang di sini, pada jam 9.30 malam, 16 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Theberge didakwa tidak memakai pelitup muka pada masa, tarikh dan lokasi sama, dituduh mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2022 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 18(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Jayaranda Rao yang mewakili tertuduh, merayu merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan masih bujang serta menanggung tiga beradiknya yang menetap di Kanada.
"Tertuduh meminta maaf atas kejadian yang berlaku pada hari tersebut yang sememangnya merupakan satu tindakan yang bodoh dan melulu," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nasuha Safian mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Pada pertengahan bulan lalu, media melaporkan polis mengesan video tular berdurasi 18 saat dimuat naik oleh dua pemilik akaun TikTok.
Video itu memaparkan seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pasar raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!