Sukan SEA: Pemain ada peluang sama rata

Brad Maloney. - Foto Bernama
Brad Maloney. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua 31 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 23 (B-23) mempunyai peluang sama rata untuk tersenarai dalam pasukan akhir yang bakal beraksi di Sukan SEA Hanoi bulan depan.

Ketua jurulatih Brad Maloney berkata, anak buahnya akan diberi peluang adil untuk membuktikan kehebatan mereka dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan B-23 Timor-Leste pada 29 April dan B-23 Filipina pada 1 Mei sebelum beliau memuktamadkan pasukan untuk temasya dwitahunan di Vietnam itu.

"Ya, semua mempunyai peluang dan tiada jaminan kedudukan untuk sesiapa dalam skuad,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan di Wisma FAM di Kelana Jaya malam Selasa.

Pada Isnin, 14 daripada 31 pemain telah melapor diri untuk menyertai kem latihan bola sepak berpusat Sukan SEA Hanoi.

Sehubungan itu Maloney berkata, adalah tidak sesuai untuk tidak mempunyai skuad penuh dalam kem latihan berpusat dan perlu menyesuaikan diri dengan barisan pemainnya pada masa ini.

Lebih ramai pemain bola sepak dijangka menyertai kem latihan itu secara berperingkat selepas mereka mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing, justeru jurulatih kelahiran Australia itu percaya beliau akan memiliki skuad penuh menjelang Sabtu ini.

Diundi dalam Kumpulan B, Malaysia akan menentang Thailand pada 7 Mei diikuti Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong di Nam Dinh. Hanya dua pasukan teratas dalam peringkat kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Malaysia yang memenangi pingat perak pada edisi 2017 di laman sendiri gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2019 di Filipina.

Kali terakhir Malaysia memenangi ‘ibu segala pingat’ itu adalah pada edisi 2011 di Indonesia di bawah bimbingan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Selain membuat persiapan ke Hanoi, para pemain juga bersiap sedia untuk Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 19 Jun.

- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!