Al-Quran menepati ciri perjalanan ummah
KUALA LUMPUR - Kitab suci al-Quran perlu dijadikan sebagai panduan lengkap perjalanan kehidupan umat Islam.
Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Datuk Dr Mohmed Razip Hassan berkata, al-Quran sendiri banyak menceritakan tentang perjalanan, pengembaraan dan penemuan yang boleh dijadikan satu proses pembelajaran.
"Dalam konteks pelancongan, kami melihat apabila kita berkolaborasi dengan program ini, sebenarnya ia menepati ciri perjalanan itu sendiri.
"Apabila seseorang itu membuat perjalanan, umpama sekarang selepas dibuka sempadan negara, ramai ke luar negara dan ramai juga yang datang ke negara kita hanya untuk melihat apakah kelainan satu-satu destinasi.
"Jadi ini amat bertepatan dengan apa yang kita ingin sampaikan kepada dunia bahawa apabila kita bersama dengan al-Quran, ia adalah satu perjalanan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program World #QuranHour 2022 di Studio TV AlHijrah pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohmed Razip berkata, individu yang luas perjalanannya cenderung mengubah perspektif hidup mereka ke arah lebih baik.
Katanya, ia sebenarnya memberikan satu refleksi bagaimana untuk menjadi umat Islam dan komuniti yang terbaik.
"Apabila seseorang, sesuatu komuniti atau kumpulan bebas membuat perjalanan, mereka akan berubah selepas melihat keunikan ciptaan ALLAH SWT misalnya gunung, pantai, cara hidup orang Islam, sejarah dan tamadun.
"Insya-ALLAH, ini juga akan membawa penekanan kepada kepimpinan individu sama ada di peringkat keluarga atau organisasi.
"Inilah apa yang kita ingin capai bersama-sama dalam program World #QuranHour 2022," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!