Jurutera didenda RM28,000 gagal pastikan keselamatan pekerja
KLANG - Seorang jurutera profesional didenda RM28,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa kerana gagal memastikan keselamatan sehingga menyebabkan kemalangan maut ke atas seorang pekerja dihempap struktur penyangga sementara dan dua lagi pekerja lain tercedera, tahun lalu.
Chu Kwai Kuen, 42, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mahkamah memerintahkan dia dipenjara 10 hari jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa gagal memastikan kewajipan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan orang lain, yang bukan pekerjanya, melibatkan pemasangan struktur penyangga dapat menampung beban yang dikenakan ke atasnya.
Ia menyebabkan kemalangan maut ke atas seorang pekerja akibat dihempap oleh struktur 'falsework' atau penyangga sementara yang runtuh, manakala dua pekerja lain mengalami kecederaan.
Kesalahan dilakukan di tapak projek LRT3 di Bandar Bukit Tinggi di sini, pada jam 2.30 petang, pada 29 Julai 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, (Akta 514) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Muhammad Redzuan Razali manakala Kwai Kuen diwakili peguam daripada Tetuan Derek Chong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!