Prabakaran desak DBKL, Ikram dedah pelan mitigasi banjir

P Prabakaran
P Prabakaran
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) didesak mendedahkan hasil siasatan pelan mitigasi banjir seperti diumumkan pada Februari lalu.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, P Prabakaran, pihak berkenaan memaklumkan hasil siasatan itu akan dilapor dan dibentangkan pada bulan ini, namun masih tiada khabar berita.

Beliau sehubungan itu mengingatkan DBKL serta Ikram supaya tidak melakukan kerja ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan akhirnya tiada perkembangan mengenai apa yang telah dijanjikan.

“DBKL juga turut menubuhkan Task Force Banjir Kilat dan meluluskan dana sebanyak RM25 juta bagi menyelesaikan isu banjir kilat di Kuala Lumpur bersama Ikram yang dilaporkan akan dibentangkan April ini, namun sehingga sekarang tiada khabar berita mengenainya.

“Saya mendesak DBKL dan Ikram untuk mengeluarkan hasil siasatan dijalankan seperti dijanjikan pada Februari lepas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Prabakaran berkata, semua sedia maklum isu banjir bukan pertama kali berlaku, malah sudah beberapa kali terjadi, termasuk penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.

“Sehingga sekarang pelan mitigasi banjir dijanjikan di Dewan Rakyat masih belum dibentangkan oleh kerajaan hari ini.

“Berapa lama sebenarnya masa perlu diambil untuk mengkaji isu banjir ini? Pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Januari lepas, Datuk Dr Abdul Latiff, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyatakan negara masih belum mempunyai Akta Pengurusan Bencana dan kerajaan sedang mempercepatkan penggubalan akta tersebut.

“Namun sehingga sekarang, kita tidak tahu ke mana hasil penggubalan data tersebut,” katanya.

Pada Isnin, media melaporkan hujan lebat berterusan kira-kira satu jam sekitar jam 4 petang, mengakibatkan beberapa jalan utama di sekitar Lembah Klang mengalami banjir teruk.

Keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor tidak dapat dilalui atau berdepan kesesakan teruk, antaranya Jalan Parlimen, Jalan Kuching, Jalan Travers, Jalan Tunku Abdul Halim, Jalan Semantan, Pintasan Segambut, Jalan Segambut, Jalan Kinabalu, Lorong Maroof, Jalan Thambi Abdullah serta Sentul.

Selain itu, Prabakaran yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seolah-olah masih belum bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir.

“Malah, ia sangat menghairankan apabila kerajaan masih gagal mengoptimumkan fungsi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk memberi amaran awal kepada rakyat di sesetengah kawasan mengenai perubahan cuaca,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!