Hampir 600 jayakan World #QuranHour di Masjid Al-Alami
MELAKA - Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, di sini, menjadi saksi bergemanya alunan surah Al-Sajdah bersempena World #QuranHour yang berlangsung pada Selasa.
Penyelaras program, Murad Amat berkata, Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersama isteri hadir bagi memeriahkan program yang dimulakan dengan sesi tadarus al-Quran diikuti khatam al-Quran dan World #QuranHour.
Menurutnya, program diadakan setiap tahun pada 24 Ramadan itu disertai hampir 600 peserta termasuk sahabat-sahabat Rumah Ngaji, kakitangan kerajaan dan orang awam.
Katanya, program lebih meriah apabila pemimpin negeri turut serta dalam program berkenaan.
"Setelah dua tahun kita tidak dapat laksanakan #QuranHour secara bersemuka kerana pandemik Covid-19, tahun ini Yang di-Pertua bersetuju hadir.
"Alhamdulillah ini satu permulaan yang begitu mengembirakan buat kami kerana sebelum ini kita tidak pernah ada tetamu kehormat seperti Yang di-Pertua Negeri bersama dalam program yang serentak diadakan di seluruh negeri," katanya.
Tambahnya, seramai 500 bertadarus dengan dibimbingi Imam Besar Masjid Al- Azim, Datuk Muhammad Hashim Al-Hafiz.
"Menerusi penganjuran ini umat Islam dapat menyuburkan tabiat membaca dan mengamalkan ajatan al-Quran dalam kehidupan seharian," katanya