Hari Harta Intelek ruang belia ubah idea jadi nyata: Ismail Sabri

Ismail Sabri dalam ucapan khas sempena Hari Harta Intelek Negara 2022 yang dimuat naik di Facebook MyIPO pada Selasa.
Ismail Sabri dalam ucapan khas sempena Hari Harta Intelek Negara 2022 yang dimuat naik di Facebook MyIPO pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Harta Intelek Negara 2022 adalah ruang untuk golongan belia mengetahui bagaimana harta intelek boleh menyokong matlamat mereka serta membantu mengubah idea mereka menjadi nyata, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, harta intelek juga berupaya menjana pendapatan, mencipta pekerjaan dan memberi kesan positif kepada dunia di sekeliling belia.

"Belia kita adalah pencipta dan usahawan masa hadapan. Saya percaya, melalui kreativiti dan kepintaran yang ada pada mereka, belia di seluruh negara mampu memacu perubahan dan mengukir laluan ke masa hadapan yang lebih baik untuk Keluarga Malaysia.

"Belia Berinovasi, Aspirasi Keluarga Malaysia. Selamat menyambut Hari Harta Intelek Negara 2022,” katanya dalam ucapan khas sempena Hari Harta Intelek Negara 2022 yang dimuat naik di Facebook Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), hari ini.

Ismail Sabri berkata belia masa kini menonjol daripada segi kepintaran dan kreativiti luar biasa dengan perspektif yang segar, bertenaga, rasa ingin tahu dan sikap "yakin boleh”.

Katanya, keinginan golongan itu untuk mencapai masa depan lebih baik telah membentuk pendekatan baharu dalam menghasilkan inovasi.

"Belia ialah penentu masa hadapan negara. Sebagai sebuah negara berbilang kaum yang pesat membangun ke arah pembinaan Keluarga Malaysia yang bersatu padu, Malaysia sangat bergantung kepada golongan belia yang aktif, kreatif dan progresif,” katanya. - Bernama

Ismail Sabri Yaakob, harta intelek, Hari Harta Intelek Negara 2022, MyIPO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!