Kesinambungan rancangan My #QuranTime
KUALA LUMPUR - Program World #QuranHour merupakan kesinambungan rancangan harian My #QuranTime yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah.
Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, kewujudan rancangan bacaan al-Quran yang bersiaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu diilhamkan daripada keadaan semasa ketika itu.
"Sejarah My #QuranTime bermula setelah melihat keresahan orang ramai terhadap keadaan semasa (penularan Covid-19) dan cara yang terbaik mengatasi keadaan itu adalah dengan memartabatkan al-Quran.
"Kita menghasilkan program tersebut setiap hari dengan bertaddabur dan beriman dengan al-Quran bersama-sama secara perlahan-lahan.
"Kaedah untuk memahami al-Quran adalah dengan cara tertib dan teratur agar pemahaman terhadapnya jelas selain dapat disampaikan dengan baik," katanya pada sidang akhbar selepas program World #QuranHour di Studio TV Alhijrah pada Selasa.
Program World #QuranHour disiarkan secara langsung di TV Alhijrah dan semua platform digital Sinar Harian pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli hadir ke program berkenaan bagi menyertai bacaan Surah Al-Sajdah.
Dalam pada itu Namanzee menjelaskan, konsep program My #QuranTime turut diterapkan pada program tahunan World #QuranHour dengan melibatkan enam qari yang membaca surah Al-Sajdah bersama tiga pentaddabur.
"Bacaan dan taddabur surah Al-Sajdah yang disampaikan hari ini disifatkan sebagai bacaan al-Quran yang bukan sekadar bacaan, tetapi memahami isi kandungannya supaya umat Islam dapat mempelajari sesuatu daripadanya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!