Sinar Harian bongkar sindiket jual bayi
KEGIATAN pemerdagangan bayi terus berleluasa di negara ini apabila kumpulan sindiket menjadikan rumah-rumah jagaan gadis terlanjur sebagai lubuk untuk mendapatkan 'bekalan' bayi.
Modus operandinya sangat mudah apabila rumah jagaan tersebut mengambil kesempatan ke atas gadis-gadis yang mengandung luar nikah.
Selepas bersalin, gadis terlanjur perlu menyerahkan bayi mereka kepada pusat jagaan tersebut yang sudah mempunyai pembeli atau jika tidak perlu membayar lebih RM9,500 sebagai kos penjagaan semasa mengandung dan bersalin.
Wartawan Sinar Siasat yang menjalankan penyiasatan berjaya menemui dua gadis yang mendedahkan kegiatan jenayah itu apabila anak mereka dijual kepada pasangan lain hanya beberapa hari selepas dilahirkan.
Seorang gadis, Siti Rohani (bukan nama sebenar) mengakui menjadi mangsa sindiket penjualan bayi apabila bayinya yang baru dilahirkan 'dijual' kepada keluarga angkat oleh sebuah rumah jagaan ibu mengandung, tahun lalu.
Siti Rohani yang berusia lingkungan 20an memberitahu, dia masuk ke rumah jagaan tersebut ketika mengandung lapan bulan tetapi langsung tidak diberitahu oleh pemiliknya bahawa anaknya nanti akan diserahkan kepada keluarga angkat.
"Selepas saya masuk ke rumah jagaan itu, rupa-rupanya sindiket ini sudah siap sedia mencari keluarga angkat tanpa pengetahuan saya. Anak saya difahamkan dijual pada harga RM5,000. Semuanya diuruskan oleh mereka," cerita Siti Rohani.
Katanya, sindiket terancang itu bijak mengatur strategi modus operandi mereka apabila selepas dua hari melahirkan anak, Siti Rohani mendakwa dibawa ke sebuah balai polis untuk membuat laporan konon dia merelakan anak itu dijaga oleh keluarga angkat.
"Dalam keadaan sakit apatah lagi saya tersepit, saya tak dapat berfikir panjang dan dipaksa untuk menandatangani laporan polis itu," kata gadis itu.
Sementara itu seorang lagi gadis yang pernah tinggal di sebuah pusat jagaan di Rawang, Selangor, memberitahu, semasa berada di pusat tersebut terdapat 10 gadis hamil lain tinggal bersamanya.
Menurut Rozana, setiap gadis mengandung yang berhasrat menjadi penghuni rumah jagaan itu sememangnya tidak dikenakan bayaran, namun pemiliknya mengaturkan keluarga angkat untuk mengambil setiap bayi baru dilahirkan dengan bayaran RM5,000.
"Kalau ada dalam kalangan ibu kandung yang nak ambil anak itu semula, mereka kena bayar balik RM4,000 (tidak termasuk caj bersalin)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!