Bakal calon Rantau diminta buat semakan awal

Azhar - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Azhar - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua bakal calon yang berhasrat bertanding dalamPRK DUN Rantau, supaya mengisi dan membuat semakan awal borang pencalonan mereka.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal pengisian borang pencalonan boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan sebelum hari penamaan calon.

“Tujuan semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelak kesilapan pengisian borang sebelum hari penamaan calon.

"Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, semakan awal juga memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak, untuk membuat persiapan sewajarnya pada hari penamaan calon. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada pegawai pengurus pilihan raya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon pada 30 Mac ini.

Tambahnya, bakal-bakal calon juga diminta membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

“Bakal-bakal calon juga diminta mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon.

“Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon kelak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!