Tular TikTok 'live': ASP bertugas seperti biasa
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan adil terhadap pegawai polis wanita yang dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) itu masih bertugas seperti biasa.
"Kita perlu siasat secara adil, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang jalankan siasatan terhadap pegawai berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM di sini, pada Selasa.
Pada Isnin, media melaporkan tindakan pegawai tersebut dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.
Dalam video berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat Asisten Superintendan menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.
Pada pertengahan video dia menyatakan rasa terkejut kerana video berkenaan ditonton secara langsung oleh lebih 1,400 pengikut selain turut mengharapkan akaunnya TikTok miliknya diikuti oleh lebih 100,000 pengikut lain.
Tindakannya membuat video secara langsung itu didapati mengundang kecaman masyarakat yang didakwa memgambil peluang ketika operasi dalam mempromosikan akaun TikTok miliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!