Paras radiasi zon bencana nuklear Chernobyl 'tidak normal'
KIEV - Badan pemerhati atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mendakwa paras radiasi di zon bencana nuklear Chernobyl di Ukraine berada dalam keadaan 'tidak normal' dan disifatkan sebagai sangat berbahaya sejak ia diambil alih tentera Rusia pada 24 Februari lalu.
"Ada ketika paras radiasi meningkat kerana pergerakan jentera berat tentera Rusia yang dibawa ke kawasan berkenaan atau ketika ia meninggalkan lokasi tersebut.
"Kami sentiasa mengikuti perkembangan situasi tersebut," kata Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi sempena memperingati ulang tahun ke-36 kejadian menggemparkan tersebut.
Kemudahan tersebut dikuasai Moscow sehingga akhir bulan lalu hingga mencetuskan kebimbangan jika berlaku kebocoran nuklear.
Sebelum ini, pegawai Ukraine mendakwa tentera Rusia berkemungkinan terdedah kepada radiasi selepas mereka melakukan aktiviti penggalian kubu di sekitar zon bencana tersebut.
Pada 26 April 1986, kemalangan disebabkan tindak balas berantai nuklear yang tidak terkawal telah memusnahkan reaktor di loji tersebut dan insiden itu pada mulanya turut disembunyikan pihak berkuasa Kesatuan Soviet daripada pengetahuan komuniti antarabangsa.
Ratusan dilaporkan terkorban walaupun angka kematian sebenar tidak dapat dipastikan.
Susulan kejadian bencana nuklear itu, kira-kira 350,000 penduduk dari zon lingkungan 30 kilometer sekitar kemudahan itu telah dipindahkan selain zon pengecualian diwujudkan dan kekal tidak berpenghuni sehingga kini.
Difahamkan, tiga reaktor lain di loji kuasa nuklear Chernobyl itu akhirnya ditutup dan penutupan terakhir dilakukan pada tahun 2000. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!