Tiga lelaki cedera ringan stor terbakar ketika lupus barang kes mercun

Eng Lai (kanan) hadir melihat sebuah stor penyimpanan barang kes di Sentul yang terbakar pada Selasa.
Eng Lai (kanan) hadir melihat sebuah stor penyimpanan barang kes di Sentul yang terbakar pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu cedera ringan ketika melupuskan mercun dan bunga api apabila sebuah stor penyimpanan barang kes di Sentul di sini terbakar pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tiga mangsa dari negeri Sabah itu diupah bagi membersihkan kawasan pelupusan rampasan mercun dan bunga api yang dibuat pihaknya pada jam 3 petang Selasa.

"Ketika membersihkan kawasan, api dilaporkan tiba-tiba terpercik di dalam tong sampah RORO (Roll On Roll Off) yang digunakan untuk menempatkan sisa pelupusan sebelum terjadi beberapa siri letupan dipercayai mercun," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian pada Selasa.

Eng Lai berkata, kesemua mangsa berusia 25 hingga 30 tahun itu telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur.

"Prosedur operasi standard (SOP) pelupusan barang kes dilakukan mengikut Perintah Mahkamah iaitu melupus barang kes dengan menggunakan jentolak dan siraman airsebelum ditanam," katanya.

Eng Lai berkata, tiada unsur khianat dalam kejadian berkenaan serta tidak menolak faktor cuaca panas hari ini memungkinkan berlakunya percikan api sebelum meletup dan terbakar.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan turut mengesahkan tiga lelaki cedera ringan dalam kejadian itu dan kesemuanya sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang dan seterusnya balai bomba dan penyelamat (BBP) Sentul menghantar jentera ke tempat kejadian.

"Mereka dibantu oleh BBP Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Wangsa Maju," katanya.

Menurut kenyataan itu, kejadian kebakaran itu membabitkan stor simpanan rampasan bahan bukti berkeluasan 30 X 50 meter dan terbakar 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka yang membabitkan 50 buah kenderaan.

"Anggota bomba membuat pemadaman dengan mengunakan kaedah pemadaman secara 'offensive firefigthing' dengan memasuki premis dan 'defensive firefighting' pemadaman dari luar bangunan.

"Kebakaran dikawal oleh pasukan bomba pada jam 7.04 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!