Giliran panjut meriahkan Ramadan

Budaya memasang pelita atau panjut tidak pernah lupus sehingga hari ini apabila setiap pemilik rumah mahupun kejiranan terutama di kampung saling bekerjasama memasang lampu dan menyalakan sumbu pelita. Gambar hiasan.
Budaya memasang pelita atau panjut tidak pernah lupus sehingga hari ini apabila setiap pemilik rumah mahupun kejiranan terutama di kampung saling bekerjasama memasang lampu dan menyalakan sumbu pelita. Gambar hiasan.
A
A
A

APABILA Ramadan mula mendekati Syawal, akan bermulalah pesta malam tujuh likur yang merujuk kepada budaya memasang pelita atau panjut. Budaya memasang panjut sudah menjadi satu perkara wajib suatu ketika dahulu.

Begitupun, budaya itu tidak pernah lupus sehingga hari ini apabila setiap pemilik rumah mahupun kejiranan terutama di kampung saling bekerjasama memasang lampu dan menyalakan sumbu pelita.

Lazimnya, panjut adalah lampu pelita api menggunakan minyak tanah. Pelita tersebut kemudiannya disusun secara kreatif di buluh dan tiang untuk menerangi kawasan pekarangan rumah atau mana-mana lokasi lapang yang boleh dilihat orang ramai.

Kebiasaannya, ramai yang memilih menggunakan pelita minyak tanah tin kerana boleh disimpan dan digunakan semula, namun ada juga yang rajin membuat pelita minyak tanah sendiri daripada buluh.

Apa pun jenis pelita yang dipilih, suasana malam di kawasan yang dipasang panjut sangatlah berbeza, menceriakan suasana persekitaran dan membawa semangat Aidilfitri yang bakal menjelang.

Di kebanyakan kawasan kampung Melayu, tradisi menyalakan pelita panjut bermula pada malam 25 Ramadan, namun persediaan untuk malam tujuh likur telah dilakukan sejak minggu pertama berpuasa lagi.

Kesempatan menghasilkan panjut sebenarnya secara tidak langsung menjadikan silaturahim antara penduduk kampung, tidak kira warga tua atau generasi muda bertambah erat. Mereka sama-sama gembira melakukan aktiviti tersebut.

Penduduk kampung saling berkongsi pendapat dan idea bagi menjayakan hiasan terbaik untuk dipertontonkan kepada penduduk serta orang luar yang datang ke kampung mereka.

Penangan panjut turut menjadikan penduduk lebih berfikiran terbuka dan kreatif. Bagi sesetengah komuniti, ia menjadi platform dalam mengekspresikan pandangan dan perasaan mereka khususnya yang terkait dengan hal-hal semasa.

Seperti yang dilakukan anak muda dari Kampung Bukit Merah, Semanggol di Bagan Serai tahun lalu apabila mencipta panjut berbentuk kapal selam KRI Nanggala-402 yang tenggelam di perairan Bali, Indonesia.

Bentuk kapal sepanjang hampir lapan meter dan tinggi mencecah tiga meter itu direka khusus sebagai penghormatan kepada 53 kru yang terkorban serta tanda sokongan kepada rakyat Indonesia.

Keazaman mencipta replika kapal itu mendorong anak muda berkenaan mereka rangka kapal selam menggunakan besi dan buluh yang kemudiannya ditebuk untuk dijadikan tempat meletak sumbu.

Mereka juga menggunakan bahan terbuang seperti tin minuman aluminium yang dijadikan bentuk gulungan untuk sumbu pelita sebelum dimasukkan ke dalam lubang yang ditebuk pada buluh.

Tahun ini, kumpulan anak muda itu mengambil inisiatif membentuk tulisan #JusticeForBella pula bagi menzahirkan rasa simpati terhadap kes remaja sindrom down dikenali sebagai Bella yang disyaki didera.

Bagi menghasilkan hiasan panjut itu, mereka menggubah botol sabun terpakai yang ditebuk menjadi tulisan #JusticeForBella dan dalam botol itu, diletakkan pelita yang dibuat daripada botol terpakai, menjadikan cahaya yang keluar daripada botol itu jelas menampakkan tulisan tersebut.

Semangat menyalakan panjut bersaiz gergasi pula boleh dilihat di Kampung Ribu, Padang Rengas yang telah dimulakan sejak 2014.

Menerusi tradisi itu, sebuah menara panjut setinggi sembilan meter dan lebar 14 meter pernah dihasilkan hasil inisiatif gotong-royong penduduk tahun lalu.

Menara panjut itu dibina dengan 32 batang buluh, empat aras tingkat menggunakan 128 tetupai, 64 batang gelegar, 24 keping lantai dan lebih 2000 pelita diperlukan bagi menyalakan panjut yang diinspirasikan dari Masjid Selat Melaka.

Tema tersebut dipilih bagi mengembalikan ingatan kegemilangan Melaka sebagai tamadun besar pertapakan Islam di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Nostalgia pemasangan panjut telah berjaya dipertahankan kerana adanya pelapis yang mewarisi kemahiran dalam membentuk replika, selain kesanggupan mereka bekerjasama meneruskan kerja memasang dan mengutip pelita setiap tahun.

Kepuasannya tentulah apabila melihat hasil sebaik pelita dinyalakan, terdengar riak gembira orang ramai yang kagum dengan ciptaan dipamerkan.

* Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!