Tak perlu kacau periuk nasi orang seni

Seorang usahawan terkemuka pula tampil menyajikan klip video raya ‘tidak senonoh’ dengan aksi terkinja-kinja beberapa penari lelaki berperwatakan lembut.
Seorang usahawan terkemuka pula tampil menyajikan klip video raya ‘tidak senonoh’ dengan aksi terkinja-kinja beberapa penari lelaki berperwatakan lembut.
A
A
A

MAC lalu, kita dikejutkan dengan kontroversi seorang pelakon lelaki popular yang memuat naik klip video aksi panas beliau bersama seorang pelakon wanita dalam laman sosial Instagram di saat beberapa hari sebelum Ramadan menjelma.

Ramai meluahkan rasa kecewa, geram dan marah dengan tindakannya kerana tidak cakna dengan adab budaya negara ini.

Belum pun reda isu tersebut, seorang usahawan terkemuka pula tampil menyajikan klip video raya ‘tidak senonoh’ dengan aksi terkinja-kinja beberapa penari lelaki berperwatakan lembut. Kali ini ia muncul ketika kita semua sedang menghitung hari untuk menyambut Syawal.

Kesal dengan apa yang berlaku, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengambil langkah drastik dengan merujuk klip video tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada masa sama, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan turut bersuara dengan menyatakan klip video muzik itu mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Nasrudin dengan tegas meminta orang ramai dan penggiat muzik membantah tindakan usahawan berkenaan yang beliau sifatkan menjatuhkan imej seni tanah air kerana menghasilkan klip video bersifat picisan. Alhamdulillah, isu yang mungkin dianggap remeh itu akhirnya diambil perhatian.

Sampai bila rakyat Malaysia perlu direndah-rendahkan akal budi dengan hidangan hiburan ‘memperbodohkan diri sendiri’ seperti itu? Sudah sampai masa kita sebagai pengguna menilai dengan bijak dan salah satu cara boleh dilakukan adalah dengan memboikot seperti jangan kongsi dan komen langsung.

Untuk golongan ‘kayangan’ yang rasa mereka terlebih wang dan tidak tahu hendak buat apa dengannya, tolonglah jangan kacau periuk nasi penyanyi dan pelakon sedia ada.

Kekayaan yang dimiliki boleh disalurkan untuk membantu mereka yang memerlukan, apatah lagi kita masih berada dalam bulan Ramadan.

Biarlah mereka yang benar-benar berbakat menaburkan bakti dan perjuangan dalam bidang seni yang berliku ini. Sepatah kata penyanyi popular Hattan – ‘Kau lacurkan industri buat apa?!’

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!