Lebih 50 peratus tiket bas raya di TBS terjual

Jumlah penumpang harian di TBS mulai meningkat daripada antara 3,000 hingga 4,000 orang kepada 6,000 orang selepas 1 April lalu. Gambar hiasan
Jumlah penumpang harian di TBS mulai meningkat daripada antara 3,000 hingga 4,000 orang kepada 6,000 orang selepas 1 April lalu. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 50 peratus daripada 200,000 tiket bas ekspres yang disediakan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk perjalanan sempena Aidilfitri kali ini telah terjual setakat Selasa.

Pengurus Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan berkata, jumlah keseluruhan jualan tiket untuk kesemua destinasi di Semenanjung Malaysia itu adalah bagi perjalanan dalam tempoh 11 hari sepanjang perayaan bermula Khamis sehingga 8 Mei ini.

“Kebanyakan tiket dibeli untuk laluan ke destinasi di Pantai timur seperti Kota Bharu, Gua Musang dan Kuala Terengganu manakala laluan ke Selatan pula melibatkan bandar utama seperti Johor Bahru dan Batu Pahat.

“Destinasi yang turut mendapat permintaan tinggi adalah ialah laluan ke Utara iaitu Ipoh, Butterworth, Sungai Nibong dan Alor Setar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri anjuran Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), di TBS, di sini, pada Selasa.

Faizal
Faizal

Faizal meminta orang ramai supaya tidak menunggu untuk membeli tiket perjalanan pada saat akhir terutamanya bagi laluan ke Pantai Timur yang menurutnya memiliki jumlah tiket terhad.

“Tiket masih ada cuma kena segera dapatkan tiket supaya kita tidak ketinggalan. Kepada orang ramai juga saya nasihatkan dan galakkan untuk melakukan pembelian tiket atas talian dengan melayari laman sesawang TBS.

“Selain itu, untuk pembelian atas talian, pembeli juga boleh membeli melalui aplikasi telefon mudah alih TBS yang mana ia akan lebih memudah dan melancarkan perjalanan mereka dengan hanya menggunakan QR Kod untuk pelepasan tanpa tiket fizikal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Faizal Redza berkata, TBS merekodkan peningkatan pengguna bas yang konsisten sejak kelonggaran pergerakan yang diumumkan kerajaan pada 1 April lalu.

“Kita dapati dapati jumlah penumpang sebelum 1 April adalah sekitar 3,000 hingga 4,000 orang setiap hari. Namun mulai 1 April lalu, kita nampak peningkatan yang agak drastik hingga mencecah ke 6,000 penumpang setiap hari,” ujarnya.

Faizal berkata, jumlah tersebut akan lebih tinggi sehingga mencapai lebih 7,000 orang setiap kali pada waktu hujung minggu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!