Permintaan bas ekspres kembali seperti sebelum pandemik Covid-19
KUALA LUMPUR - Jumlah permintaan terhadap perkhidmatan bas ekspres ketika musim perayaan untuk perjalanan pulang ke kampung kini sudah kembali sama seperti tempoh sebelum pandemik Covid-19.
Yang Dipertua Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, sebanyak 330,000 tiket bas disediakan pihaknya untuk perjalanan di kesemua destinasi di Semenanjung Malaysia bagi musim perayaan kali ini sudah berjaya habis dijual.
Katanya, tiket itu melibatkan lebih 8,500 trip perjalanan yang membabitkan 680 buah bas bermula Rabu ini sehingga 8 Mei depan.
“Tiga laluan paling banyak terjual ialah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur ke Utara.
“Tarikh perjalanan tiket yang banyak dibeli pula adalah pada 28 April hingga 2 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, pada Selasa.
Laili berkata, pihaknya juga sudah bersedia untuk membuka lebih banyak bas tambahan jika ada permintaan daripada pengguna.
“Jadi, setakat ini kita ada buka dua trip perjalanan membabitkan laluan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Kita bersedia untuk menyediakan bas tambahan.
“Jadi mana-mana penumpang yang mahu melakukan perjalanan pulang dan belum membeli tiket jangan bimbang kerana tiket masih ada lagi,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, keupayaan untuk menyediakan bas tambahan itu adalah bergantung kepada kepada tahap kapasiti operasi syarikat penyedia bas masing-masing memandangkan mereka ketika ini masih berhadapan masalah kekurangan pemandu.
Pada masa sama, Laili turut memberikan jaminan bahawa kesemua bas di bawah Pembawa berada dalam keadaan baik dan telah diselenggara manakala pemandunya juga sudah bersedia untuk menghadapi musim perayaan.
Sementara itu, beliau berkata, musim perayaan kali ini dilihat merupakan masa permulaan terbaik untuk industri bas ekspres bangkit semula selepas terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Katanya, untuk tempoh dua tahun lepas, jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh syarikat di bawah naungannya mencecah hampir RM500 juta disebabkan oleh sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.
“Jadi selepas dua tahun, saya merasakan ini merupakan tahun kebangkitan dan permulaan bagi pengusaha bas untuk kembali menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat yang mahu berulang alik dari kota ke desa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!