Bomba Perak periksa lebih 300 premis hiburan
IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan memeriksa lebih 300 premis hiburan di seluruh negeri bagi memastikan ia selamat dikunjungi.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, siasatan mendapati kebanyakan pengusaha masih mengabaikan aspek keselamatan kebakaran di premis mereka.
Menurutnya, kesalahan yang dikesan adalah pintu keluar terhalang, lampu tanda keluar, tangga terhalang dan kesediaan alat pemadam api.
"Pusat hiburan antara tumpuan masyarakat setiap kali cuti perayaan dan fokus kita adalah memastikan premis mempunyai jalan keluar dan peralatan pencegahan kebakaran dalam keadaan baik.
"Kita akan menjelajah membuat pemeriksaan. Jika terdapat kesalahan, notis akan dikeluarkan supaya membuat tindakan pembaikan dalam tempoh ditetapkan.
"Sekiranya gagal dipatuhi, kita akan mengeluarkan Notis B sebagai peringatan dan seterusnya tindakan pendakwaan," katanya pada Kempen Keselamatan Kebakaran bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran di sebuah premis di sini pada Selasa.
Azmi turut mengingatkan pengusaha untuk 'membekalkan' ilmu asas penyelamatan dan pencegahan kebakaran kepada pekerjanya sebagai langkah awal keselamatan.
Katanya, manual keselamatan pengunjung perlu diadakan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Dalam kes-kes kebakaran ada kalanya pengunjung tidak mengetahui arah jalan keluar tambahan pekerja yang tidak mempunyai pengetahuan untuk menyelamatkan nyawa pelanggan.
"Kita berhasrat untuk adakan kursus berkaitan keselamatan kebakaran kepada pekerja premis hiburan tahun ini. Ia penting untuk menjamin keselamatan pengunjung," katanya.
Media melaporkan tiga pelanggan sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong, Alor Setar, Kedah terkorban manakala lapan lagi terselamat dalam kebakaran di premis itu pada Jumaat lalu.
Pada 2019, enam termasuk dua wanita warga Vietnam ditemui mati akibat sesak nafas dalam kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Dr Nazrin Shah di Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!