Putin harap perjanjian diplomatik dengan Ukraine tercapai

Putin - Foto AFP
Putin - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Selasa berkata, beliau berharap perjanjian diplomatik dengan Ukraine dapat dicapai dan rundingan mengenainya sedang berlangsung.

Bercakap menjelang pertemuannya dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Putin berkata, Rusia mendukung prinsip yang menjadi asas penubuhan PBB dan berhasrat untuk berbuat demikian pada masa depan, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata, rundingan dengan Ukraine di Istanbul pada Mac, merupakan satu pencapaian yang sangat penting.

"Tetapi malangnya, selepas mencapai persetujuan, selepas kami menyatakan hasrat untuk meneruskan rundingan di Bucha, kami berdepan provokasi yang tiada kaitan dengan tentera Rusia.

"Kami tahu siapa dalang terhadap provokasi ini, siapa yang melakukannya,” katanya.

Sikap Ukraine berubah secara drastik selepas insiden Bucha, tetapi rundingan masih diteruskan secara dalam talian dan Putin masih mengharapkan keputusan positif.

Sekurang-kurangnya 2,729 orang awam terbunuh dan 3,111 lagi cedera di Ukraine sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan pada 24 Februari, menurut PBB.

Angka sebenar dikhuatiri lebih tinggi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!