UPSI universiti pertama di Perak tubuh Rumah Ngaji
TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi institut pengajian tertinggi (IPT) pertama di negeri ini menubuhkan Rumah Ngaji.
Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, penubuhan itu direalisasikan hasil kerjasama Pusat Islam UPSI dengan Kelab Res Q Siswa menjadikan Rumah Ngaji ke-94 diwujudkan di Perak, setakat ini.
"Kita dah pun wujudkan Rumah Ngaji di hospital, sekolah, jabatan kerajaan, penjara, kolej, pusat tahfiz, dewan komuniti, restoran dan rumah kediaman.
"Kali ini usaha ini diperluas ke universiti pula dan suka saya maklumkan bahawa UPSI menjadi universiti pertama yang mempunyai Rumah Ngaji di Perak," katanya selepas merasmikan penubuhan Rumah Ngaji UPSI sempena World #QuranHour di Masjid Al-Mursyidin, Pusat Islam UPSI di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Pusat Islam UPSI, Tirmizi Abd Rahman; Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Muhammad Hasbi Abd Rahman dan Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Noor Mazlina Noor Shah.
Normah Hanum berkata, penubuhan Rumah Ngaji UPSI bertepatan dengan misi utama untuk mengqurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah.
"Harapan kita agar setiap pelajar dan warga UPSI secara keseluruhan mengambil peluang dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan apabila mereka keluar nanti," katanya.
Sementara itu, Exco Sahsiah Kelab Res Q Siswa UPSI, Ahmad Adeel Wajdi Ahmad Zaidi berkata, hasrat untuk menganjurkan Rumah Ngaji dalam kampus telah lama disuarakan, namun tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.
Katanya, Rumah Ngaji adalah platform terbaik untuk mahasiswa meningkatkan jati diri menerusi kefahaman ayat-ayat al-Quran sekali gus membentuk keimanan yang berkualiti.
"Ini adalah masa yang tepat untuk kita berkolobrasi bersama Rumah Ngaji Perak dengan keberadaan pelajar di kampus pada semester ini.
"Diharap impaknya nanti menjadikan mahasiswa UPSI individu contoh menerusi sahsiah yang baik kepada masyarakat," katanya.
Program World #QuranHour di Masjid Al-Mursyidin, Pusat Islam UPSI di sini merupakan lokasi utama di Perak dan disertai lebih 70 peserta kalangan komuniti daerah Muallim, mahasiswa, warga UPSI, Rumah Ngaji berhampiran serta pelajar Maahad Tahfiz Masjid Al Hidayah, Behrang 2020.
Lokasi lain yang turut sama menyertai World #QuranHour adalah Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pusat Koreksional Kamunting Taiping, Masjid Negeri Perak, hospital dan beberapa sekolah terpilih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!