Polis belum terima laporan 2,000 babi 'hilang'
SEREMBAN - Polis belum menerima sebarang laporan berhubung isu 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah A, Port Dickson yang didakwa dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan sekiranya menerima laporan polis mengenai kejadian terbabit.
"Setakat ini belum ada lagi terima laporan polis dan kita akan semak berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Op Selamat 18/2022 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang berhubung isu 2,000 babi yang dipercayai dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, kerajaan negeri khuatir haiwan yang dibawa keluar itu akan mencetuskan jangkitan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Ruslan berkata, seorang lagi banduan reman yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lepas dan masih bebas sudah disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki polis.
"Usaha untuk mengesan banduan berkenaan telah dipergiatkan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Polis giat memburu seorang daripada tujuh banduan iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32 dengan nama gelaran Umai yang melarikan diri dari Penjara Jelebu pada 10 April lepas selepas enam daripadanya berjaya ditahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan ini, boleh salurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran ataupun ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Inspektor Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.
Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira jam 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan reman terbabit ditempatkan.
Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!