Maqis rampas produk babi dari China
BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan membawa masuk 1,125 kotak produk babi dari China di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Isnin.
Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguat kuasa mendapati sebanyak 9,180 kilogram (kg) produk babi yang telah ditinkan dianggarkan bernilai RM453,600.
Menurutnya, kesemua produk itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana diimport tanpa permit import Maqis.
"Perbuatan mengimport produk babi tanpa permit import yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), Akta yang sama.
"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Muhammad Ikram berkata, tindakan penguatkuasaan perlu diambil bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi Malaysia.
Jelasnya, antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi salai, sosej babi, produk babi yang ditinkan dan seumpamanya.
"Maqis akan mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.
"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan biosekuriti serta tahap jaminan keselamatan makanan negara terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!