JTK serbu dua asrama pekerja daif
BUTTERWORTH - Kotor, jijik dan berbahaya. Itu yang boleh digambarkan keadaaan asrama pekerja sebuah kilang besi di kawasan perindustrian Bagan Lalang, di sini pada Rabu.
Asrama yang menempatkan lebih 30 pekerja itu bukan sahaja semak dan tidak teratur malah sampah yang tidak dibuang di ruang tidur turut mengundang bau yang kurang menyenangkan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kementerian Sumber Manusia, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, keadaan asrama yang disifatkan daif itu tidak sesuai dihuni oleh manusia selain bertentangan dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446).
Menurutnya, majikan tidak sewajarnya mengabaikan kebajikan pekerja termasuk menyediakan asrama yang kondusif dan selamat buat mereka.
"Kita dapati majikan terbabit gagal membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sedangkan premis ini menggajikan 32 orang pekerja asing.
"Pemeriksaan yang dibuat juga mendapati pemilik premis terbabit gagal menyediakan kemudahan asas yang sepatutnya diberikan kepada pekerja seperti tilam yang kurang daripada empat inci tebal, almari berkunci dan kawasan tandas yang sesuai termasuk menempatkan penyelia asrama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu Akta 446 dan Akta Perburuhan lain pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, operasi yang dijalankan bersama beberapa agensi lain itu bertujuan memerangi isu buruh paksa di negara ini.
Antara agensi lain yang terlibat ialah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah kilang pembuatan pakaian juga mendapati kesalahan sama turut dilakukan majikan premis itu apabila gagal membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan penginapan pekerja.
Katanya, JTK Pulau Pinang dijangka akan membuka sebanyak enam kertas siasatan terhadap majikan-majikan terbabit di bawah Seksyen 24D Akta 446.
Beliau berkata, sekiranya majikan ini disabitkan kesalahan, jumlah denda yang akan dikenakan adalah maksimum sebanyak RM50,000 bagi setiap satu kesalahan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan terhadap sebarang isu, khususnya isu buruh paksa dan kita akan mengenal pasti setiap elemen yang dikaitkan dengan isu tersebut.
"Ini termasuklah gaji tidak dibayar, penginapan tidak kondusif dan juga kebebasan pekerja disekat seperti pergerakan dikawal mahupun dokumen penting dipegang oleh pihak majikan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!