MBPG bangunkan empat tapak niaga baharu
JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) membangunkan empat tapak niaga baharu yang lengkap dengan kemudahan asas bagi membantu meningkatkan ekonomi peniaga jalanan di kawasan berkenaan.
Datuk Bandar, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, usaha itu juga bagi menampung keperluan peningkatan peniaga baharu khususnya golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Beliau berkata, empat tapak berniaga baharu berkenaan adalah di Taman Air Biru, Jalan Belatok, Taman Scientex dan Jalan Merbah.
"Sebenarnya dalam tempoh pandemik ini memang banyak peniaga segera, tetapi saya rasa selepas sempadan (Malaysia-Singapura) dibuka, mereka ini boleh kembali bekerja semula contoh di Singapura, saya rasa akan berkurangan.
"Bagaimanapun, di peringkat MBPG, kami telah menyediakan tapak-tapak baharu sebab kalau kita lihat peniaga segera ini mereka berniaga di tepi jalan sahaja, itu yang mengundang masalah banyak seperti sampah dan masalah keselamatan sama ada kepada peniaga atau pengunjung.
"Sebab itu kita sediakan tempat-tempat baharu untuk kemudahan lebih yang selesa, contoh paling baharu adalah di Taman Air Biru, kita ada lebih kurang 100 tapak," katanya ketika ditemui selepas hadir Majlis Berbuka Puasa MBPG bersama pengamal media Johor di Hotel Fives di sini pada Selasa.
Pada majlis berkenaan, kira-kira 40 pengamal media daripada pelbagai agensi telah diraikan selain menerima hadiah berupa kuih raya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Asman Shah berkata, aspek kebersihan dan keselamatan antara perkara utama diterapkan dalam pembangunan setiap tapak berkenaan sekali gus memastikan persekitaran jualan lebih selesa.
“Tempat-tempat ini kita lengkapkan dengan kemudahan asas seperti kawasan parkir kenderaan, kawasan solat dan paling utama ia dilengkapi dengan bekalan air.
“Untuk tapak peniaga ini, mereka perlu mohon lesen dengan MBJB dan kemudian undi tapak.
"Kita juga akan lebih memberikan keutamaan kepada penduduk di Pasir Gudang dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MBPG juga mempunyai perancangan untuk membina satu lagi tapak perniagaan di Nusa Damai yang dijangka boleh menempatkan kira-kira 50 tapak peniaga.
“Perancangan ada cuma kita sedang teliti tapak yang sesuai, bilangan (tapak) juga kita perlu kawal kerana tidak mahu ramai sangat kerana jika lebih daripada 50 nanti ada persaingan antara mereka.
“Selain itu, kita kini dalam proses untuk membaik pulih empat tapak perniagaan Kebayan, sebab kemudahan ini sudah lebih 30 tahun, jadi kita mahu jadikannya sebagai pusat perniagaan baharu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!