Maritim Terengganu tahan tiga bot, rampas hasil

Antara bot yang ditahan Maritim Terengganu di sekitar perairan negeri itu Isnin lalu
Antara bot yang ditahan Maritim Terengganu di sekitar perairan negeri itu Isnin lalu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing dan dua bot nelayan tempatan di sekitar perairan Terengganu Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, tiga bot tersebut ditahan di kedudukan antara 26 hingga 110 batu nautika dari Kuala Terengganu ketika rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Naga Barat.

“Bot pertama ditahan sekitar jam 12 tengah hari pada kedudukan kira-kira 110 batu nautika timur Kuala Terengganu dan dipercayai bot nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran asing serta 15 kru termasuk tekong.

“Bot kedua ditahan kira-kira 62 batu nautika timur laut Kuala Terengganu bersama 10 kru termasuk tekong sekitar jam 1 tengah hari dan enam jam kemudian, sebuah lagi bot turut ditahan.

“Bot ketiga dipercayai menggaji pekerja asing tanpa permit ditahan di kedudukan 26 batu nautika dari Kuala Terengganu bersama lima kru termasuk tekong,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kesemua bot dikendalikan oleh 30 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 19 hingga 58 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Ariffin berkata, semua bot bersama peralatan menangkap ikan, bekalan diesel kira-kira 3,000 liter dan hasil tangkapan kira-kira 500 kilogram ikan campur turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.5 juta.

“Tekong ketiga-tiga bot juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dan disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!