Syarikat proses kayu didenda gagal patuh keselamatan, kesihatan pekerja

Syarikat ETH Holdings Sdn Bhd mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berhubung isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dua tahun lalu. - Gambar hiasan
Syarikat ETH Holdings Sdn Bhd mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berhubung isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dua tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KLANG – Sebuah syarikat pemprosesan kayu didenda RM53,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tiga pertuduhan berhubung isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dua tahun lalu.

Syarikat ETH Holdings Sdn Bhd dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menghantar laporan kemalangan maut yang berlaku di kilang dalam masa tujuh hari kepada pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang terdekat.

Ia merupakan suatu perkara yang dikehendaki di bawah Peraturan 5(2), Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan Dan Penyakit Pekerjaan) 2004.

Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 13, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu dituduh gagal mengambil seorang Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan bekerja dengan kapasiti pekerja melebihi 100 orang.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29, Akta sama dan dibaca bersama Perintah 3(h) Perintah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan) 1997.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 29(5), Akta sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, syarikat itu didakwa gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan dan kesihatan semua pekerjanya yang bekerja, iaitu tidak dapat melakukan penaksiran risiko bagi aktiviti menyusun berkas (bundle) kayu menggunakan jentera trak angkat susun (forklift).

Ia menyebabkan berlaku kemalangan ke atas pekerjanya yang maut akibat dihimpit jentera tersebut yang tertakluk di bawah Seksyen 15(1), Akta sama.

Jika disabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 19, Akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Semua kesalahan dilakukan di kilang syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Bandar Sulatan Suleiman, Pelabuhan Klang, di sini pada jam 3.45 petang, 29 Ogos 2020.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Mahani Ibrahim manakala syarikat itu diwakili peguam daripada Tetuan Fong Yap & Gan.

Menerusi satu kenyataan media, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor berharap, kes ini dapat memberi pengajaran kepada semua majikan serta pekerja sekali gus mengambil berat soal pematuhan undang-undang demi kepentingan awam termasuk keselamatan pekerja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!