Tenaga buruh Malaysia pulih secara beransur-ansur pada 2021

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Tenaga buruh Malaysia pulih secara beransur- ansur pada 2021 dengan kedudukan lebih baik dijangka pada 2022, menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, tenaga buruh Malaysia terdiri daripada penduduk bekerja dan penganggur meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 15.8 juta orang tahun lepas berbanding 15.7 juta orang pada 2020.

Katanya, penduduk bekerja merekodkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus kepada 15.2 juta orang pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

"Pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial telah menggalakkan kumpulan tidak aktif untuk memasuki tenaga buruh sama ada untuk bekerja atau mencari pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2021 hari ini.

Beliau berkata komposisi utama penduduk bekerja di Malaysia adalah dalam kategori pekerjaan separuh mahir yang menyumbang 57.7 peratus atau 8.7 juta daripada jumlah penduduk bekerja pada 2021, diikuti penduduk bekerja dalam kategori mahir dengan 29.6 peratus (4.5 juta orang) manakala kategori berkemahiran rendah adalah sebanyak 12.7 peratus (1.9 juta orang).

Dari segi taraf pekerjaan, Mohd Uzir berkata kategori pekerja merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja iaitu sebanyak 78.5 peratus pada 2021, dengan bilangan penduduk bekerja dalam kategori berkenaan mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 2.3 peratus kepada 11.8 juta orang berbanding 11.6 juta orang pada 2020.

Kategori penduduk bekerja sendiri yang menyumbang sebanyak 14.8 peratus, mencatatkan penurunan kepada 2.2 juta orang pada 2021, katanya.

"Berikutan pandemik yang berlarutan bagi tahun kedua 2021, banyak perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan mikro terjejas akibat pelbagai sekatan dilaksanakan di kawasan tertentu yang berisiko tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai pengangguran 2021, beliau berkata kadar pengangguran mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.6 peratus dengan bilangan penganggur meningkat kepada 733,000 daripada 711,000 pada 2020.

Beliau berkata tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran lebih tinggi daripada paras nasional iaitu Sabah (8.2 peratus), Wilayah Persekutuan Labuah (7.4 peratus) dan Perak (5.3 peratus) manakala Putrajaya (1.6 peratus), Melaka (2.0 peratus) dan Pahang (3.3 peratus) antara negeri yang mencatatkan kadar pengangguran terendah 2021.

Mengulas kedudukan tenaga buruh secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata pasaran buruh negara sedang menuju ke arah pemulihan dengan peningkatan berterusan sejak Januari 2022, berikutan negara telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

"Perkembangan positif ini akan dapat menyumbang kepada pengambilan lebih ramai pekerja, pewujudan jawatan baharu dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Justeru, pasaran buruh Malaysia dijangka dapat mempercepatkan momentum pemulihannya dalam masa terdekat berikutan prestasi ekonomi dilihat terus bertambah baik,” katanya.

-- BERNAMA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!