Perlu tegas, pantau operasi pusat jagaan anak-anak
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu bertegas dari segi penguatkuasaan undang-undang terhadap operasi pusat jagaan kanak-kanak bagi memastikan kes penderaan kanak-kanak sindrom down dikenali sebagai Bella tidak berulang.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, syarat operasi pusat jagaan adalah ketat namun beliau berpandangan penguatkuasaan perlu ditambah baik.
Menurutnya, tapisan dan pemeriksaan berkala perlu dilakukan bagi memastikan operasi pusat jagaan diuruskan dengan baik.
"Pusat jagaan ditubuhkan bagi tujuan baik tapi kena pastikan kebajikan anak-anak dijaga dengan baik.
"Tidak sampai ke tahap menutup pusat jagaan tidak berdaftar tetapi operasinya perlu dikawal selia dengan baik, " katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Katanya, isu Bella dekat dengan hati beliau kerana turut terlibat dalam operasi pusat jagaan anak autistik dan sekolah anak pelarian.
"Patut amanah dijalankan dengan dengan baik. Saya harap keadilan terhadap Bella dapat ditegakkan dan pastikan peristiwa ini tidak berulang.
" Saya ada bercakap dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dan beliau menjelaskan pelbagai tindakan telah diambil dan pembelaan diberikan terhadap Bella," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!