36 emas sasaran rasmi negara di Hanoi
KONTINJEN Malaysia meletakkan sasaran 36 pingat emas, 35 perak, dan 75 gangsa pada temasya Sukan SEA Hanoi Vietnam 2021 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 23 Mei depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sasaran itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk ketiadaan beberapa acara yang sebelum ini menjadi emas mudah buat skuad negara.
Menurut Ahmad Faizal, semua pihak bersetuju meletakkan sasaran 36 pingat emas, 35 pingat perak dan 75 pingat gangsa dengan jumlah keseluruhan pingat disasarkan 146 pingat.
“Sebanyak 72 pingat (25 emas, 18 perak dan 29 gangsa) daripada 27 jenis sukan dan 68 acara dimenangi di Sukan SEA Filipina 2019 tidak dapat dipertahankan kali ini kerana tidak dipertandingkan di Vietnam.
“Antara pingat yang hilang adalah dari sukan seperti skuasy (empat emas), lawn bowls (empat emas), skating (dua emas), gimrama (tiga emas acara individu), break dance (satu emas) dan beberapa sukan lain.
“Selain itu, 22 jenis sukan (pelayaran, ekuestrian, hoki, ragbi, luncur air dan lain-lain) yang biasa menyumbang pingat di beberapa temasya Sukan SEA yang lalu juga tidak dipertandingkan di Hanoi kali ini, sekali gus menyebabkan pungutan pingat Kontinjen Malaysia berkurangan atau menurun," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan SEA Vietnam 2021 di Majlis Sukan Negara pada Rabu.
Pada temasya Sukan SEA kali ini Malaysia dijangka menghantar seramai 859 anggota kontinjen yang terdiri daripada 584 atlet, 217 pegawai dan 58 sekretariat.
Kontinjen Malaysia bakal mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan daripada keseluruhan 40 yang dipertandingkan melibatkan 338 acara daripada keseluruhan 526 acara.
Untuk rekod, pada edisi Sukan SEA Filipina 2019, kontinjen negara menamatkan saingan dengan prestasi hambar apabila sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal percaya para atlet mampu mendapat lebih daripada apa yang disasarkan sekiranya mereka berjaya mencabar diri sendiri untuk melakukan lebih baik daripada sebelumnya.
“Walau apa pun alasan, kekangan dan kekurangan, saya tetap yakin para atlet negara akan berjuang habis-habisan untuk memenangi pingat emas bagi rakyat Malaysia.
“Saya percaya jumlah yang disasarkan itu mungkin akan lebih sekiranya atlet-atlet mencabar diri mereka untuk beraksi lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!