PH tidak ada rundingan dengan Bersatu

Anthony Loke ketika ditemui pemberita selepas sesi ramah mesra pada Rabu.
Anthony Loke ketika ditemui pemberita selepas sesi ramah mesra pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekiranya wujud keputusan baharu mengenai perkara itu, ia perlu dimuktamadkan di peringkat Majlis Presiden PH terlebih dahulu.

“Seperti yang kita katakan pandangan dan pendirian kita, kalau ada apa-apa keputusan baharu mesti diputuskan oleh Majlis Presiden PH terlebih dahulu.

“Setakat ini Majlis Presiden PH tak pernah memutuskan untuk berunding dengan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas sesi ramah mesra pada Rabu.

Bersatu sebelum ini dilapor bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan BN berdepan saingan satu lawan satu pada PRU15 akan datang.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini parti itu masih di peringkat awal rundingan bagi menawarkan formula 'menang-menang' antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas rundingan kerjasama dengan parti pembangkang, Anthony Loke mengakui ada usaha untuk merapatkan dengan semua pihak dan ia merupakan satu proses berlanjutan.

“Di Parlimen kita mengajak semua parti pembangkang untuk bekerjasama. Umpamanya apabila kita ada Akta Anti Lompat Parti.

“Kita juga menjemput parti-parti pembangkang yang lain untuk bersama-sama.

“Apabila kerajaan putuskan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas, bukan sahaja wakil PH, kita juga menjemput wakil Warisan untuk duduk mewakili pembangkang sebab mereka juga berada dalam blok pembangkang,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!