Hadi Fayyadh mantapkan Harimau Muda

Kehadiran Hadi Fayyadh mampu mempertajamkan jentera serangan Harimau Muda di Hanoi bulan depan.
Kehadiran Hadi Fayyadh mampu mempertajamkan jentera serangan Harimau Muda di Hanoi bulan depan.
A
A
A

KEHADIRAN Hadi Fayyadh Abdul Razak mampu mempertajamkan lagi bahagian serangan skuad Bawah 23 (B-23) negara yang menggalas cabaran negara di Sukan SEA Hanoi bulan depan.

Perkara itu diakui, pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney yang melihat pengalaman Hadi Fayyadh di Jepun mampu memainkan peranan penting dalam memantapkan prestasi pasukan negara pada ketika ini.

Bagaimanapun tegas Maloney, pemain Fagiano Okayama itu perlu bersaing dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan memandangkan kesemua pemain akan diberi peluang sama rata untuk disenaraikan dalam pasukan akhir.

“Ia satu perkembangan yang bagus untuk melihat Hadi Fayyadh bersama-sama pasukan pada sesi latihan selepas hampir dua tahun setengah tidak bersama kami akibat kecederaan ACL.

“Namun sekarang Hadi Fayyadh sudah pulih daripada kecederaannya itu. Saya percaya dia mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu pasukan mengharungi kempen di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Institut Penilaian Negara (INSPEN) Bangi, pada Selasa.

Maloney
Maloney

Pada sesi latihan itu, Hadi merupakan antara pemain yang melapor diri ke kem latihan pusat sebagai persiapan menjelang Sukan SEA.

Selain Hadi Fayyadh, Nooa Laine yang kini beraksi bersama kelab Liga Finland, SJK Seinajoki turut melaporkan diri, namun pemain kacukan Malaysia-Finland berusia 19 tahun itu tidak akan membuat penampilan di Hanoi selepas tidak didaftarkan dalam skuad B-23 negara.

“Saya rasa ia sudah terlambat untuk mendaftarkan pemain itu kerana kita sudah melebihi masa yang ditetapkan. Bagaimanapun, saya gembira kerana dia ada di sini untuk menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan lain,” katanya.

Ditanya mengenai potensi Nooa Laine disenaraikan dalam skuad ke kejuaraan Piala AFC B-23 di Uzbekistan pada Jun depan, Maloney berkata, ia bergantung kepada proses dokumentasi untuk memohon pasport yang sedang dilakukannya.

“Saya tidak menolak dia mungkin akan berada dalam skuad B-23 yang akan ke Uzbekistan sekiranya segala proses dokumentasi dan permohonan pasportnya berjalan lancar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!