Keluarga mendiang Nagaenthran terima keputusan dengan berat hati

Sebahagian ahli keluarga dan rakan mula berkumpul di pekarangan rumah Sharmila di Taman Indah, Tanjung Rambutan di Ipoh bagi memberi penghormatan terakhir.
Sebahagian ahli keluarga dan rakan mula berkumpul di pekarangan rumah Sharmila di Taman Indah, Tanjung Rambutan di Ipoh bagi memberi penghormatan terakhir.
A
A
A

IPOH - Keluarga terpaksa menerima hakikat kehilangan mendiang Nagaenthran Dharmalingam yang telah menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura pada Rabu.

Kakak mendiang, D Sharmila, 36, berkata, keluarganya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan lanjut setelah ikhtiar terakhir mereka menerusi rayuan ditolak.

"Kami akur dengan pelaksanaan hukuman itu dan menerima dengan hati yang berat. Dia sudah tidak lagi bersama kami, ia menyakitkan tetapi kami menerima takdir ini.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak di Malaysia dan Singapura yang membantu, memberi sokongan dan berdoa untuk adik kami termasuk di media sosial," katanya ketika ditemui media di Taman Indah, Tanjung Rambutan di sini.

Kata Sharmila, ibunya, S Panchalai, 60, terkilan apabila tidak sempat menatap wajah mendiang buat kali terakhir.

"Ketika pelaksanaan hukuman, ibu berada dalam bas menuju ke Singapura bersama dua saudara.

"Mungkin kerana itu, ibu lebih banyak berdiam dan kami berusaha untuk bercakap dan membuatnya makan walaupun sedikit," katanya.

Sharmila berkata, kali terakhir dia melihat adiknya itu pada Ahad lalu dan bersembang hal keluarga dan peribadi.

"Dia seorang adik yang pendiam dan merendah diri. Sebelum Deepavali tahun lalu, kami bawakan pakaian dengan kasut. Dia teragak-agak untuk memakai kerana terlalu besar untuknya.

"Tetapi kami memberitahunya bahawa ini adalah trend semasa dan dia sangat gembira memakainya. Pakaian itu kini ada dengan kami dan masih berbau seperti dia," katanya.

Jelasnya, ahli keluarga ketika ini tidak sabar untuk menyambut ketibaan jasad mendiang selepas lebih 13 tahun tidak bertemu.

"Sudah 12 jam hukuman dilaksanakan namun jasadnya belum tiba lagi dan setakat jam 8 malam, mayat difahamkan masih berada di Johor. Mungkin agak lewat tiba dengan kesesakan trafik dan keadaan cuaca.

"Kebanyakan ahli keluarga kami tidak sabar kerana sudah lama tidak menemui Nagaenthran. Jadi, ramai ahli keluarga berkumpul sejak petang tadi," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan jasad Nagaenthran dituntut adiknya Navin Kumar, 22, di Penjara Changi dan dibawa dari Johor Bahru ke Ipoh dengan menaiki van.

Jasad mendiang akan disemadikan di perkuburan Hindu di Buntong di sini pada Jumaat ini.

Sharmila berkata, persemadian akan dilaksanakan antara pukul 2 hingga 4 petang Jumaat ini selepas upacara sembahyang di rumah mereka.

Pada Selasa, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Nagaenthran, 34, dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif Covid-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Pada 7 November 2021, dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

Pada 3 Disember, Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata, Nagaenthran telah diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!