Pencemaran dua sungai: JAS kenal pasti pihak terlibat
JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah menjalankan siasatan berhubung isu pencemaran melibatkan Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap di Simpang Renggam.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, JAS juga telah mengenal pasti pihak yang disyaki bertanggungjawab terhadap insiden terbabit.
“Berhubung perkara ini, satu siasatan terperinci telah kita mulakan semalam yang mana bukti-bukti sedang dikumpulkan untuk membolehkan tindakan mahkamah diambil.
“JAS Cawangan Kluang telah mengeluarkan empat kompaun kepada syarikat yang disyaki bertanggungjawab terhadap perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Air berbau busuk, ikan ditemui mati
Mohammad Ezzani berkata, kompaun yang dikeluarkan itu adalah melibatkan permasalahan loji rawatan cairan yang menginfiltrasi sampah (leachate) dan buangan berjadual.
“Buat masa ini, kita mengeluarkan dua kompaun atas permasalahan loji leachate dan dua kompaun buangan berjadual. Siasatan akan terus dilakukan dari masa ke semasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pengkhususan operasi yang dijalankan syarikat terbabit bagi memastikan siasatan tidak diganggu.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah dirinya mahu pihak berkuasa segera melaksanakan siasatan berhubung isu pencemaran di dua sungai berkenaan.
Titah tersebut berikutan pencemaran yang berlaku di dua sungai tersebut telah mengakibatkan kerosakan ekosistem sekali gus menyebabkan berlakunya kematian ikan-ikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya mahukan laporan segera: Sultan Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!