Bilakah masalah scammer nak selesai?
SETIAP hari ada sahaja isu penipuan dalam talian, Macau Scam dan Love Scam yang menjadi laporan berita atau perbualan, namun penguatkuasaannya nampak lemah.
Kadangkala terfikir, kenapa terlalu sukar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku kerana bukan sedikit kerugiannya, bahkan melibatkan jutaan ringgit.
Lebih malang lagi, sasaran mereka adalah individu dalam kalangan berusia atau warga emas yang merancang menyimpan wang untuk tempoh persaraan kelak.
Terbaharu melibatkan seorang ibu berusia 70-an yang kerugian lebih RM70,000 selepas terpedaya dengan scammer yang mengeluarkan dana simpanan Tabung Haji disimpan sejak muda lagi.
Ada juga kes seorang guru kerugian lebih RM7.3 juta angkara Macau Scam.
Tidak kena memang tidak terasa tetapi sudah terlalu banyak, malah ribuan kes dilaporkan media, namun penyelesaiannya amat berkurangan.
Sama ada pihak berkuasa tidak mengambil berat dan mengambil mudah atau kerenah birokrasi yang menjadi halangan untuk menyelesaikan kes dengan lebih cepat. Betul, siasatan dan pendakwaan ada caranya dan bukan sembarangan tetapi sampai bila kita hendak menunggu.
Belum nampak tanda-tanda masalah itu akan berakhir. Jangan sampai penjenayah kolar putih menjadikan penipuan sebagai satu perniagaan. Ada antara mereka juga menjadikan kelompangan undang-undang sebagai strategi untuk penjenayah mengaut keuntungan.
Sebenarnya, masalah utama telah dikenal pasti iaitu kelemahan peruntukan undang-undang sedia ada yang menjadi isu pokok tetapi masih belum ada usaha ke arah itu.
Ahli Parlimen selaku penggubal undang-undang perlulah main peranan, bersatu untuk gubal dan perbaiki peruntukan undang-undang jenayah penipuan seiring dengan peredaran teknologi semasa bagi memberi lebih kuasa kepada pihak polis, sekali gus memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku terlibat.
Seperti kata Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, peruntukan undang-undang sedia ada kurang berkesan dalam menangani jenayah penipuan dalam talian. Jadi ayuh kita bersama. Jangan asyik fikir masalah politik sahaja. Tolonglah selesaikan masalah rakyat juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!