Piala FA: Negeri Sembilan waspada muslihat TFC
PEREBUTAN slot ke pusingan kedua Piala FA melibatkan perlawanan antara Negeri Sembilan FC menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan MIzan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat ini dijangka sengit.
Itu reaksi pertahanan Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee yang menyifatkan skuad kendalian Nafuzi Zain sedang berusaha mengekalkan momentum positif dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Malah menurut Ahmad Khuzaimi, TFC mempunyai ramai pemain berkualiti dan Negeri Sembilan perlu lebih waspada terutamanya apabila lawan melakukan pertukaran pemain di mana skuad Penyu ini dibarisi pemain-pemain muda yang wajar digeruni.
“Kita tahu Terengganu ada ramai pemain muda jadi kita tak boleh nak jangkakan sebab kalau tengok aksi sebelum ini, mereka banyak membuat pertukaran pemain dengan pemain muda.
“Kita tidak akan tumpu dekat seorang pemain mereka sahaja dan kita kena ambil tanggungjawab untuk aksi lawan Terengganu ini dengan lebih serius.
“Walaupun kita sedang konsisten dengan perlawanan di Liga Super sekarang, tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam Piala FA sebab ini adalah perlawanan kalah mati,” katanya.
TFC dan Negeri Sembilan FC akan berentap dalam perlawanan tertunda pusingan pertama Piala FA menyaksikan pemenang akan menentang Kedah Darul Aman FC di pusingan kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!