Taktik penyamaran perisik Israel
BAGAIMANA jika anda ditugaskan untuk bertindak, berfikir dan hidup seperti musuh anda? Itulah yang dilakukan beberapa perisik Israel sebagai pekerjaan harian. Mereka ‘berlakon’ sebagai rakyat Palestin.
Penyamaran itu termasuk berpakaian seperti lelaki tua atau wanita Palestin yang berpura-pura memeluk bayi.
Semasa tunjuk perasaan, mereka bersama dengan orang ramai sambil melaungkan kata-kata semangat dan kemudian melemparkan batu ke arah tentera.
Strategi itu adalah untuk menggalakkan penunjuk perasaan lain mendekati tentera.
Ketika tiba waktu yang tepat, mereka tiba-tiba mula menangkap orang Palestin, padahal sebentar tadi mereka bersama-sama memprotes dan bergandingan ‘menentang’ kezaliman Zionis. Perkara itu bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah penjajahan bumi Palestin.
Mereka yang dimaksudkan ialah Musta’ribeen – perkataan Arab yang merujuk kepada ‘seseorang yang hebat dalam bahasa atau budaya Arab’ atau turut ditakrifkan ‘seseorang yang tinggal dalam kalangan orang Arab atau menjadi Arab’ walaupun mereka sebenarnya bukan daripada bangsa Arab.
Dalam konteks Israel, Musta’ribeen atau dalam bahasa Ibrani disebut Mista’arvim, merujuk kepada unit penyamaran Pasukan Pertahanan Israel, terdiri daripada tentera Israel yang menyamar sebagai Arab dan menyusup masuk ke dalam wilayah Palestin.
Unit Mista’arvim mula ditubuhkan pada 1942 sebelum negara haram Israel terbentuk dan mereka dilatih untuk berfikir serta bertindak seperti orang Arab.
Mereka juga belajar cara hidup orang Palestin sambil melakukan apa yang mereka sebut sebagai operasi ‘melawan pengganas' (counter terrorist).
Melalui cara itu, mereka dapat memperoleh akses ke wilayah Palestin yang biasanya mustahil sebagai individu berketurunan Yahudi di Israel.
Musta’ribeen belajar bertutur dalam bahasa Arab termasuk dialek bahasa Palestin, seolah-olah itu adalah bahasa pertama mereka dan berpakaian seperti orang Palestin yang memakai keffiyeh.
Mereka juga dilatih untuk bertindak seperti gerak geri orang Palestin.
Selain menjadi perisik, mereka juga dipertanggungjawabkan untuk melakukan operasi lain termasuklah menyelamatkan tebusan, mengumpulkan informasi dan sering menangkap atau mencari suspek ‘pengganas’.
Seandainya operasi mereka diketahui, tentera Israel akan membubarkan unit tersebut dan membentuk pasukan baharu.
Walaupun tidak banyak yang diketahui mengenai unit berkenaan atau bagaimana ia beroperasi, dipercayai ia terdiri daripada lebih empat unit yang beroperasi di pelbagai wilayah Palestin.
Siri drama Netflix –Fauda menggambarkan unit Mista’arvim dan bagaimana mereka menjalankan operasi ‘melawan pengganas’.
Jadi, bagaimana Mista’arvim dilatih untuk menjadi ‘Arab’? Rakyat Isreal yang mempunyai raut wajah dan ‘ciri-ciri seperti orang Arab’ dipilih untuk unit tersebut.
Tetapi untuk menyempurnakan penyamaran sebagai rakyat Palestin, mereka harus dilatih dengan ketat selama 15 bulan termasuk latihan ketenteraan dan empat bulan dari tempoh itu dihabiskan untuk mempelajari pelbagai perkara mengenai orang Arab Palestin seperti bahasa, tradisi serta budaya.
Mereka turut dilatih ‘bagaimana untuk kelihatan seperti orang Arab’.
Bagaimana seorang Israel berjaya mempelajari ‘seni menjadi Arab’ hanya dalam beberapa bulan? Jika dilihat, Yahudi dan Arab mempunyai banyak persamaan.
Dari sudut nilai sejarah, kedua-dua bangsa itu adalah daripada bangsa Semitik dan mereka boleh dikatakan ‘bersepupu’.
Walaupun bahasa Ibrani dan Arab tidak sama, kedua-dua bahasa tersebut mempunyai persamaan dan sangat berkait rapat, dan jika anda sudah menguasai satu daripada bahasa itu, ia akan membantu anda mempelajari yang lain dengan lebih mudah.
Jadi, mungkin itu penyebab bagi seseorang Yahudi untuk fasih berbahasa Arab dan berperwatakan seperti orang Arab walaupun agak sukar, namun sebaliknya jika dilatih, seorang Arab juga boleh berlakon sebagai seorang Yahudi.
Mesir menyatakan bahawa mereka berjaya memperoleh maklumat daripada ejen risikan yang dilatih mereka pada masa lalu, yang ke-mudiannya dihantar ke Israel, menyamar sebagai orang Yahudi untuk mengumpulkan rahsia risikan tentera bagi kegunaan tentera Mesir semasa perang suatu ketika dahulu.
Jadi, bagaimana pendapat anda sendiri mengenai taktik penyamaran dan kejutan Israel?
* Yusuff Hassan ialah Penerbit Program Digital Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!