Pertingkat periksa bot nelayan kekang seludup PATI

Maritim Selangor melaksanakan pemeriksaan ketat semasa Ops Khas Pagar Laut di perairan Klang, pada Rabu. (Gambar kecil: Norihan)
Maritim Selangor melaksanakan pemeriksaan ketat semasa Ops Khas Pagar Laut di perairan Klang, pada Rabu. (Gambar kecil: Norihan)
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor mempertingkatkan pemeriksaan bot nelayan di sempadan negara bagi mengekang cubaan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama pada musim perayaan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Norihan Ngah berkata, Ops Khas Pagar Laut yang telah dilaksanakan bermula 19 April lalu mengesan modus operandi sindiket penyeludupan PATI yang menggunakan bot nelayan tempatan.

Menurutnya, Maritim Selangor percaya taktik itu digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, kita akan sentiasa mempertingkatkan lagi pemeriksaan ke atas bot-bot nelayan yang berada di sempadan bagi membanteras penyeludupan PATI ini.

"Maritim tidak berkompromi dan akan sentiasa menangkap penceroboh mahu pun penyeludup yang berani melanggar undang-undang negara ini agar mendapat hukuman yang setimpalnya," katanya kepada Sinar Harian selepas operasi Ops Khas Pagar Laut di sini pada Rabu.

Mengulas kejayaan Maritim Selangor hasil tindakan operasi khas ini, Norihan berkata, bagi tempoh lapan hari bermula 19 April lalu, pihaknya berjaya melakukan 1,729 pemeriksaan, 619 penggeledahan dan 12 kes hasil pengesanan dan maklumat risikan yang diterima.

Katanya, daripada 12 kes tersebut, terdapat enam kes yang melibatkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dengan jumlah PATI yang ditahan adalah seramai 56 orang.

"Kesemua aset laut dan udara telah diarahkan untuk mempertingkatkan lagi kawalan di musim perayaan ini," ujarnya.

Tambah beliau, antara tindakan yang akan diambil adalah Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Untuk info, Ops Khas Pagar Laut pada tahun ini dilaksanakan bermula 19 April sehingga 17 Mei untuk membanteras kemasukan PATI, penyeludupan bunga api dan mercun serta penyeludupan barangan kawalan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!