UMNO Kelantan terbuka ketengah ‘poster boy’ dalam kalangan ahli
KOTA BHARU - UMNO Kelantan bersedia mengetengahkan ‘poster boy’ dalam kalangan ahli yang berkaliber dan layak untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Kelantan.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, pendekatan terbuka tersebut diambil bagi memberi ruang lebih besar kepada kepimpinan baharu yang dapat membawa perubahan dan kemajuan duniawi mahupun ukhrawi di negeri ini.
“Tidak semestinya calon menteri besar atau poster boy dipilih daripada kalangan kepimpinan UMNO Kelantan sahaja, sebaliknya ahli UMNO yang dilihat layak, berketokohan tinggi, berjiwa rakyat serta memahami agama boleh ditampilkan sebagai calon.
“Ini keterbukaan, bukan bermaksud UMNO Kelantan ketandusan pemimpin berkaliber malah ramai pemimpin UMNO sendiri lebih berjiwa rakyat dan berlatarbelakangkan agamawan yang sesuai dicalonkan sebagai Menteri Besar Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Moreh dan Santai bersama pengamal media Kelantan, di sini pada Rabu.
Jelas Ahmad Jazlan, ada pemimpin parti itu yang mampu mengurus tadbir negeri namun tidak ditonjolkan walaupun sesetengah mendakwa parti itu tidak ada calon untuk Menteri Besar Kelantan untuk ditampilkan buat masa ini.
“Menjadi kelaziman di mana-mana negeri, selaku Pengerusi UMNO Kelantan saya diberikan ruang untuk menjadi poster boy atau calon, tetapi saya tidak merasakan saya layak berada di kedudukan tersebut.
“Saya percaya masih ramai anak Kelantan yang lebih layak dan mempunyai ilmu pengetahuan tinggi untuk membawa perubahan di Kelantan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, UMNO Kelantan mempunyai matlamat jelas mahukan perubahan di negeri ini dan boleh mencadangkan sesiapa sahaja dalam kalangan pemimpin serta ahli UMNO sebagai calon menteri besar, namun keputusan akhirnya terletak pada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tambahnya, beliau tidak bersetuju terhadap pandangan mengatakan UMNO Kelantan tidak mempunyai pemimpin yang layak untuk menjadi menteri besar selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu.
“Kegemilangan Mustapa terserlah sewaktu menjadi Pengerusi UMNO Kelantan kerana waktu itu beliau menteri penuh, kerajaan Persekutuan adalah kerajaan Barisan Nasional selain beliau mendapat kepercayaan daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa projek pembangunan di Kelantan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
“Jika dibandingkan waktu saya mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan, waktu itu kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan, tiada JPP, bahkan sekarang ini saya pula hanya Pengerusi Felcra, jauh panggang dari api lah kalau nak cerita terserlah atau tidak,” katanya.
Tambah beliau, penting untuk rakyat Kelantan memahami bahawa UMNO Kelantan tidak mahu merebut jawatan untuk mencapai kedudukan sebagai pemimpin sebaliknya membuka ruang kepada calon yang dapat diterima rakyat, berpengalaman dan mampu membawa perubahan di Kelantan.
“Saya berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan sekiranya UMNO Kelantan mencapai kemenangan, saya tegaskan tidak semestinya Menteri Besar Kelantan itu datangnya daripada Pengerusi Perhubungan atau pimpinan peringkat bahagian, sebaliknya boleh jadi dari ahli biasa yang mempunyai ketokohan dan berjiwa besar untuk membawa perubahan di Kelantan, itu yang saya maksudkan dan soal siapa layak mestilah mendapat persetujuan daripada presiden parti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!