Sukan SEA: Pemain B-23 Malaysia bukan 'kaleng-kaleng'

Ahmad Faizal ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara pada Rabu. - Foto Bernama
Ahmad Faizal ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan memiliki potensi untuk menamatkan penantian lebih sedekad, bagi meraih pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, bulan hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya, pasukan negara mempunyai ramai pilihan pemain yang mampu untuk membawa pulang kejayaan.

"Walaupun persiapan pasukan terlewat sikit, tetapi kemampuan para pemain itu saya fikir kita bukan tahap 'kaleng-kaleng' (sembarangan). Kita satu pasukan yang (masih) digeruni di peringkat Asia Tenggara.

"Jadi saya amat yakin kita akan berikan saingan yang paling baik,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, pada Rabu

Pada masa sama, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad berharap, dapat melihat pasukan negara di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney mencapai keputusan cemerlang di Vietnam, kerana bola sepak antara sukan termasyhur di negara ini.

"Kalau boleh kita dapat pingat dalam bola sepak, kerana ia adalah satu sukan yang orang katakan melengkapkan Sukan SEA dan lengkaplah (pencapaian) kontinjen Malaysia, apabila ada sebutir pingat daripada bola sepak,” katanya.

Sebelum ini, Maloney memaklumkan, tiada sasaran spesifik diletakkan pada pasukannya, namun memberi jaminan akan membentuk skuad terbaik yang berupaya memberi tentangan sengit.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B pada temasya sukan dwitahunan itu dijadual berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh untuk merebut dua slot ke separuh akhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!