Pelarian Rohingya lolos dikesan berada di Selayang

Imigresen melaksanakan Ops Belanja di sekitar Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, pada Khamis.
Imigresen melaksanakan Ops Belanja di sekitar Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesan segelintir pelarian etnik Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Kedah berada di sekitar Selayang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Imigresen kini sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti lokasi sebenar tahanan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Menurut Khairul Dzaimee, pihaknya percaya pelarian yang masih bebas ini adalah mereka yang tahu selok belok di kawasan Pulau Pinang dan juga sekitar kawasan Kuala Lumpur.

"Kita percaya mereka ini tahu tempat di sini kerana pernah bekerja dan berada di sini sebelum ini.

"Terdapat komuniti mereka di sini dan ini adalah kemungkinan yang tinggi bagi membantu pelarian terbabit melarikan diri," katanya kepada pemberita selepas serbuan Imigresen di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.

Tambahnya, Imigresen bersama PDRM kini sedang giat memburu 61 pelarian yang masih bebas.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, 20 April lalu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri dari depot tahanan sementara itu dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas jalan raya di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Susulan itu, Polis Kedah telah melancarkan Op Kesan bagi mengesan baki pelarian Rohingya yang melarikan diri selain Op Tutup dengan empat sekatan jalan raya dibuat di Seberang Perai Selatan, empat di Bandar Baharu dan lima di Kulim, Kedah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 dan 147 Kanun Keseksaan.

Untuk info, depot terbabit disewa sejak tahun lalu dan boleh menampung kapasiti hingga 700 tahanan, dengan dikawal ketat oleh anggota Imigresen serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!