Persiapan Aidilfitri musnah dalam kebakaran
BANTING - Luluh hati bapa empat anak sebaik mengetahui keadaan rumah dan semua persiapan Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan musnah dalam kebakaran.
Rumah yang didiami Nazri Ahmad, 51, sekeluarga di Batu 39, Jalan Seribu Tahun di Kampung Olak Lempit di sini terbakar pada hari ke-12 Ramadan yang lalu.
Menurut Nazri, ketika kejadian jam 2.30 pagi itu, isteri dan tiga anaknya berada di rumah, manakala dia masih belum pulang dari kerja dan seorang lagi anak berada di kolej.
"Anak kedua saya yang tersedar dari tidur kerana sukar bernafas sebelum segera keluar dari bilik untuk melihat keadaan dan menyedari rumah sudah dipenuhi asap tebal.
"Mereka bernasib baik kerana anak saya tidak menutup pintu biliknya dan sejurus selepas itu, anak-anak yang berada di rumah dan isteri terus berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
"Mereka cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya kerana api terus marak, hanya sempat alihkan kereta," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nazri ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Dr Zainuddin Othman sempena Program Sumbangan Kasih Ramadan anjuran syarikat itu.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran, Mohd Ismail Masri; Pengarah Eksekutif Korporat dan Pemasaran, Tengku Datuk Taha AlFashni serta ketua-ketua pejabat cawangan.
Program Sumbangan Kasih Ramadan itu mengagihkan sumbangan pek makanan kepada 51 buah keluarga asnaf, fakir dan miskin.
Program dijalankan serentak di Shah Alam, Selayang, Kajang, Kuala Selangor, Sepang dan Nilai iaitu di kawasan pengoperasian tempat letak kereta pihak berkuasa tempatan di bawah pengurusan operasi Suasa Efektif (M) Sdn Bhd.
Zainuddin berkata, sumbangan itu mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, bihun, biskut, sardin, sos, kicap, garam, gula, teh dan juga minuman.
"Program sebegini adalah sejajar dengan konsep kami iaitu ‘berkongsi rezeki di bulan mulia’ di mana kami percaya setiap rezeki yang ALLAH berikan kepada kita perlu dikongsi bersama.
"Di dalam setiap rezeki kita, ada juga rezeki untuk orang lain dan begitu juga sebaliknya, semoga sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan," katanya.
Selain sumbangan berbentuk keperluan makanan, penerima juga menerima sumbangan berbentuk wang tunai bagi menampung keperluan keluarga bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!