Tiada kenaikan cukai taksiran di Selangor

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A
SHAH ALAM - Tarikh penguatkuasaan nilaian baharu oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) belum diputuskan oleh kerajaan negeri.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah bagi merangsang dan merancakkan ekonomi bagi memastikan langkah pemulihan ekonomi dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurutnya, semakan nilaian baharu oleh MPKj dilaksanakan mengikut prosedur betul seperti diperuntukkan di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Aras nilaian semasa yang berkuat kuasa di MPKj ketika ini telah berusia 37 tahun iaitu berdasarkan nilaian pada tahun 1985.

"Kerajaan negeri tidak akan membenarkan atau meluluskan sebarang kenaikan cukai taksiran yang membebankan rakyat terutama ketika situasi pasca pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

November lalu, Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain memberitahu, MPKj bercadang menaikkan kadar cukai taksiran pada 2023 kadarnya tidak melebihi RM20 untuk penduduk yang tidak membuat pengubahsuaian kediaman.

Sze Han berkata, MPKj akan mengambil kira semua bantahan dan ketidakpuasan penduduk di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Jelasnya, MPKj menyediakan medium bersesuaian untuk pemilik harta berkadar menyatakan bantahan terhadap tindakan penilaian semula ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!