Empat remaja ditahan lumba haram
KOTA BHARU - Empat remaja berusia 15 sehingga 18 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan selepas dipercayai mempamerkan aksi berbahaya dan berlumba haram di jalan raya di Jeli dan Rantau Panjang, pada Selasa dan Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, operasi di Jeli dijalankan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada jam 6.50 petang, Selasa.
“Polis melihat dua motosikal dari arah Simpang Tiga Jerimbong hala ke Ladang Tapis yang ditunggang dua lelaki dalam keadaan berlumba dengan menunduk kepala.
“Polis mengekori dan cuba menahan namun mereka memecut motosikal untuk melarikan diri di sebuah jalan kebun getah namun berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, pada Khamis.
Sementara itu katanya, penahanan kedua pula membabitkan operasi yang dijalankan jam 5 pagi, pada Rabu di jalan Gual Periok - Gual Tok Deh selepas melakukan pemerhatian beberapa minit.
“Polis melihat sekumpulan motosikal melakukan aksi berbahaya iaitu dengan cara menundukkan kepala dan aksi 'zig zag' untuk menguji kelajuan.
“Bagaimanapun dua penunggang terbabit berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ada antara mereka tidak memiliki lesen namun ujian saringan awal kesemua remaja itu didapati negatif dadah.
“Kesemua tahanan dan empat motosikal tersebut turut dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!