Tiga penguat kuasa JPJ didenda RM5,000 terima suapan
IPOH - Tiga pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM20,000 tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Fadzli Robaini, 32; Sazali Rani, 53, dan Mohd Khairumin Sahdan, 35, juga berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman tersebut dijatuhkan terhadap ketiga-tiga mereka yang bertugas di Unit Peronda Lebuhraya Jelapang itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Kesemua tertuduh didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM20,000 daripada Lee Kok Wong, 29, agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Cheong Chee Wei, 41 atas kesalahan membawa barang muatan arak tanpa surat kebenaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perbuatan itu dilakukan di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Kinta antara jam 10 pagi hingga 1.10 petang pada 6 Jun 2021.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan wang rasuah berjumlah RM18,65011 daripada ketiga-tiga tertuduh dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhaimin Aris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!