Lebih 1 juta kenderaan dijangka masuk Johor sempena Aidilfitri
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah berkenaan yang memasuki negeri ini kerana balik kampung, aktiviti kunjung mengunjung dan sebagainya selepas dua tahun tidak dapat meraikan Aidilfitri.
"Kita jangkakan kenderaan dari Kuala Lumpur dan negeri lain akan bertambah dan masuk ke negeri ini sekali gus turut menyaksikan pertembungan kenderaan dari Singapura.
"Ketika ini 70,000 orang dengan melibatkan 35,000 kenderaan dari negara jiran itu masuk setiap hari dari Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah.
"Jumlah maksimum kenderaan dari Singapura adalah 400,000 sehari," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Hari Raya Aidilfitri ke-18 di Plaza Tol Skudai, dekat sini pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor, Jamaluddin Mohammad.
Mengenai Op Selamat dan Op Lancar di negeri ini, Kamarul Zaman berkata, seramai 300 anggota polis trafik akan bertugas di 30 jalan yang sering berlaku kesesakan dan lima daripadanya adalah jalan utama di daerah ini.
Menurutnya, mereka tidak dibenarkan bercuti dan bagi melancarkan operasi Ketua Polis Daerah juga akan menempatkan Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan berkenaan.
"Kita mengenal pasti 41 kawasan hotspot yang sering berlaku kemalangan terutama melibatkan Jalan Persekutuan dan lebuh raya.
"Antara daerah yang mempunyai kawasan hotspot tertinggi adalah di Batu Pahat. Sementara purata jumlah kemalangan di negeri ini adalah 200 kes sehari dan kemalangan maut pula dua kes sehari," katanya.
Sementara itu, Kamarul Zaman ketika berucap pada majlis itu mengingatkan orang ramai supaya melaporkan perancangan cuti kepada polis sebelum pulang ke kampung dengan mengisi borang maklumat balik kampung di balai-balai berhampiran.
Katanya, borang tersebut boleh dimuat turun melalui portal rasmi polis dan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) selain pemakluman boleh dibuat dengan menghubungi Hotline 999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!